Monday, 25 January 2016

Padah Perlombongan Bauksit Kepada Peneroka Mula Kelihatan

Padah Perlombongan Bauksit Kepada Peneroka Mula Kelihatan. Kehilangan pendapatan akibat moratorium ke atas aktiviti perlombongan bauksit di Kuantan dan kesan pencemaran terhadap tanah ialah kesan yang terpaksa dihadapi peneroka Felda.

Peningkatan pendapatan jangka pendek selepas membuka tanah pertanian mereka kepada perlombongan terhenti selepas Putrajaya menggantung aktiviti bauksit selama 3 bulan bermula 15 Januari dan tanah itu tidak dapat lagi digunakan lagi untuk tujuan pertanian, menurut seorang jurutera alam sekitar.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman berkata, keputusan Putrajaya itu sememangnya memberi kesan kepada peneroka memandangkan industri bauksit dianggap sebagai sumber pendapatan alternatif kepada mereka.

"Peneroka Felda tidak dapat meraih pendapatan yang banyak sekiranya terus bergantung dengan hasil penjualan kelapa sawit memandangkan harga komoditi itu di pasaran antarabangsa tidak begitu memberangsangkan," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata, tanah peneroka yang terbabit dengan industri bauksit di Kuantan kebanyakannya bertumpu di Felda Bukit Goh dan Bukit Sagu.

Felda Goh mempunyai 670 peneroka yang sebelum ini mempunyai pendapatan tidak stabil kerana hanya bergantung kepada hasil kelapa sawit, kata Mazlan.

Dengan membenarkan aktiviti perlombongan bauksit di tanah mereka, mereka mampu meraih pendapatan sekitar RM7 untuk satu tan.

Mazlan tidak pasti sumber pendapatan peneroka yang terlibat dengan industri bauksit.

"Saya tak berapa pasti sama ada terjejas atau tidak, tapi mungkin yang terlibat dengan industri bauksit sebelum ini, mereka ada menerima deposit bagi bayaran bauksit.

"Jadi ia mungkin membantu mereka," katanya.

Walaupun bukan semua peneroka Felda di Kuantan terjejas, mereka yang membenarkan tanah untuk perlombongan bauksit akan berdepan dengan kesukaran menggunakan tanah itu untuk aktiviti pertanian, kata Jurutera Alam Sekitar Dr Faradiella Kusin.

Padah Perlombongan Bauksit Kepada Peneroka Mula Kelihatan

Katanya, aktiviti pertanian tidak sesuai dijalankan di tanah perlombongan bauksit walaupun selepas kerja pembersihan dilakukan kerana boleh menyebabkan kerosakan kepada genetik dan kesan toksin kepada tumbuhan.

"Kesan pencemaran bauksit boleh menjejaskan tumbuhan sama ada daripada tanah yang tercemar atau melalui leachate (air susupan ke dalam tanah)," katanya.

Walaupun aktiviti pembersihan sisa perlombongan buat masa ini diperlukan supaya ia dapat mengurangkan pencemaran kepada alam sekitar, ia tidak mencukupi kerana aktiviti perlombongan secara agresif sudah berlaku selama lebih setahun, katanya.

Perlombongan bauksit di Kuantan dimulakan pada awal 2013 dan pengeluarannya meningkat secara mendadak mulai pertengahan 2014 kerana permintaan yang tinggi dari China.

"Bagaimanapun, tempoh pemberhentian operasi selama 3 bulan masih tidak mencukupi berbanding kesan pencemaran yang sudah sedia terjadi.

"Proses pemulihan akan mengambil masa yang lama, memandangkan kesan pencemaran yang sudah sedia ada terjadi akibat berterusan sejak setahun lalu," kata Faradiella yang juga pensyarah kanan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau berkata, kesan pencemaran tanah itu boleh berkekalan sehingga puluhan tahun kerana tapak tinggalan aktiviti perlombongan masih boleh menyebarkan bahan cemar daripada struktur atau strata batuan/tanah yang diteroka walaupun selepas operasi perlombongan dihentikan.

Katanya, perkara itu sudah banyak dilaporkan dalam jurnal sejak berdekad lalu.

Beliau turut memberi perbandingan kejadian tumpahan sisa perlombongan bauksit di Hungary yang mengambil masa 2 hingga 3 tahun untuk pemulihan walaupun tempoh pendedahan sisa bauksit itu berlaku sangat singkat.

Padah Perlombongan Bauksit Kepada Peneroka Mula Kelihatan

"Situasi kita lebih teruk kerana kesan pencemaran berlaku dalam tempoh setahun, maka dijangkakan tempoh pemulihan tentulah lebih lama dan kemungkinan ia boleh memberi kesan yang berkekalan," katanya.

Menteri Besar Pahang Datuk Adnan Yaakob berkata, pengeksportan bauksit di Kuantan menyumbang hasil kepada kerajaan negeri sebanyak RM46.7 juta pada 2015 berbanding RM24.4 juta tahun bagi tahun sebelumnya.

Mazlan berkata, persoalan peneroka melanggar terma dalam perjanjian tanah tidak timbul kerana peneroka tidak menyerahkan sepenuhnya kepada pengusaha bauksit .

"Status peneroka ini kekal seperti tertakluk di bawah Akta Kumpulan Penempatan Berkelompok, kerana status (peneroka) itu sudah di wartakan dan termaktub dalam perjanjian dan geran hak milik peneroka.

"Sememangnya tidak akan ada perubahan melainkan ada permohonan membangunkan dan mengeluarkan kawasan," katanya.

Tetapi The New Straits Times melaporkan bulan ini, semua lombong bauksit di Bukit Goh tidak sah dan peneroka Felda mungkin melanggar Kanun Tanah Negara.

Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Pahang Datuk Nazri Abu Bakar dilaporkan berkata, peneroka Felda mempunyai hak terhadap tanah mereka di bawah Akta Kumpulan Penempatan Berkelompok tetapi pihak mereka sedang mengkaji kemungkinan peneroka melanggar undang-undang kerana tanah mereka untuk pertanian dan bukan perlombongan.




No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...