Wednesday, 20 January 2016

Ini Petanda PKR Akan Putus Hubungan Dengan PAS?

Susulan tindakan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli yang tidak menghiraukan bantahan PAS terhadap penyertaannya dalam majlis ceramah bersama Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Johari Abdul berkata, kedua-dua parti itu mempunyai hubungan tidak rasmi.

Ketua whip PKR itu berkata, tidak terdapat sebarang ikatan "hitam putih" antara PKR dan PAS berhubung perkara tersebut.

"Kita ada hubungan yang tidak rasmi dan saling menghormati. Namun, ia tidak mengikat kita. Ia berbeza dengan Pakatan Harapan sebab kita saling terikat.

"Tidak terdapat sebarang 'paper work' (kertas kerja) di antara PAS-PKR. Sebab itu kita menghormati apa saaja tindakan dan kenyataan yang dibuat PAS.

"Dan begitu juga, jika kita ambil tindakan untuk menghadiri program mana-mana parti pun. Tiada yang mengikat kita," katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR hari ini.

Sebelum ini, PAS Kelantan menghantar surat rasmi kepada PKR membantah tindakan parti itu mengadakan ceramah bersama Amanah di negeri yang terletak di bawah pemerintahan parti Islam itu.

Surat bertarikh 13 Januari itu ditujukan kepada Rafizi sendiri, yang turut merangkap naib presiden PKR.

Menjawab perkara itu, Rafizi berkata, PKR akan terus bekerjasama dengan sesiapa saja bagi menjatuhkan kerajaan Umno pimpinan Datuk Seri Najib Razak kerana ia terlalu memudaratkan rakyat.

"Saling hormat-menghormati keputusan parti di dalam Pakatan Rakyat masih wujud. Apabila PAS berjumpa Umno, kita pun tidak buat komen kerana itu hak mereka.

"Malah tidak wujud perjanjian yang kukuh tidak boleh buat ini dan itu," kata Johari.

Sementara itu, ditanya sama ada PAS dan PKR perlu mewujudkan perjanjian supaya isu sebegini tidak lagi timbul, ahli Parlimen Sungai Petani itu berkata, partinya sentiasa bersedia untuk berbincang.

Beliau memetik tawaran Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail terhadap PAS ketika mengadakan rundingan meja bulat pembentukan Pakatan Harapan September lalu.

"Kerana itulah, ketika kita mahu wujudkan Pakatan Harapan, kita ajak secara rasmi PAS supaya bincang.

"Mungkin mereka tidak bersetuju beberapa perkara, namun masih bersetuju dalam banyak perkara. Lebih elok duduk bersama untuk berbincang.

"Namun mereka tidak mahu datang dengan mengatakan tidak bersedia. Selagi tidak bersedia, maka hubungan kita masih tidak terikat. Jika bersedia, kita ikatlah," katanya.




No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...