Sunday, 17 January 2016

Ini Penghalang Utama Kemenangan Pakatan Harapan Di PRN Sarawak

Veteran DAP Lim Kit Siang mengakui populariti Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, menjadi cabaran terbesar parti itu mengukuhkan kedudukannya di negeri Bumi Kenyalang itu.

DAP memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya negeri Sarawak pada 2011, memenangi 12 kerusi, dua kali ganda daripada sebelumnya, hampir menyapu bersih semua kawasan bandar.

Lim bagaimanapun berkata kepada The Malaysian Insider, populariti Adenan yang sedang meningkat berkemungkinan menyukarkan usaha menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya kali ini, dijangka berlaku seawal Mac.

"Sukar memenanginya kerana sekarang ada ketua menteri yang sangat popular," kata Lim. "Sejak 2 tahun mengambil alih jawatan ketua menteri, beliau menjadikan dirinya begitu popular dan mampu menjadi imaginasi rakyat Sarawak," katanya.

Tetapi Lim berkata partinya dan Pakatan Harapan "bekerja keras" menampakkan diri mereka di Sarawak, membawa mesej jelas yang parti pembangkang komited membawa penyatuan dan pembangunan kepada negeri itu.

"Peranan DAP dan Pakatan Harapan penting dalam konteks nasional terutama bagi penduduk Sabah dan Sarawak yang semakin ramai tidak berpuashati dan terasa diabaikan selama ini.

"Janji mereka untuk sepenuhnya menjadi sebahagian daripada Malaysia, belum tertunai. "Isu ini akan berbangkit menjelang pilihan raya umum," kata Lim.

DAP berharap meletakkan calon mereka di lebih 30 kerusi dalam pilihan raya kali ini termasuk di kawasan majoriti Bumiputera.




No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...