Friday, 15 January 2016

Dalang Serangan Bom Jakarta Tampilkan Diri

Dalang Serangan Bom Jakarta Tampilkan Diri.

JAKARTA: Tujuh tahun lalu, Bahrun Naim menjalankan perniagaan kafe internet secara kecil-kecilan di Solo, Indonesia.

Semalam, polis mengenal pasti beliau sebagai dalang di sebalik serangan maut di Jakarta yang didakwa dilakukan militan Kumpulan Negara Islam (IS), dipercayai beroperasi dari Raqqa, pusat operasi kumpulan itu di Syria. 

Naim juga pernah ditahan pada 2011 kerana memiliki senjata secara haram dan dipenjara tiga tahun, dan sejak itu beliau mula aktif selaku perancang utama rangkaian militan yang mula menular di Solo dan di seluruh Jawa Tengah. 

Setahun lalu pula, beliau ke Syria untuk menyertai barisan hadapan IS dan polis percaya Naim terbabit secara langsung dalam menyelaras serangan semalam. Malah khabar angin mengenai serangan itu sudah mula tersebar sejak beberapa minggu lalu. 

Reuters pernah menghubungi Naim pada 24 November menerusi khidmat pesanan sosial Telegram, menggunakan butiran yang diberikan oleh seorang kenalannya. Dalam mesej itu beliau berkata, terdapat lebih daripada cukup anggota militan IS untuk melaksanakan tindakan di Indonesia. 

"Hanya menunggu masa yang betul," kata lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Naim. Naim gagal dihubungi untuk mengulas lanjut berhubung serangan semalam. Ketua Polis Jakarta, Tito Karnavian berkata, Naim sudah sekian lama merancang serangan ke atas ibu kota Indonesia, sambil menambah beliau turut bercita-cita untuk menjadi pemimpin militan IS di Asia Tenggara. 

Dalang Serangan Bom Jakarta Tampilkan Diri

Beliau berkata dalam satu blog bertajuk "Lessons from the Paris Attack", Naim menggesa khalayak Indonesia untuk mengkaji perancangan, sasaran, masa, penyelarasan, keselamatan dan keberanian pejuang jihad Paris. 

Seorang pakar militan Islam di Institut Analisis Dasar Konflik, Sidney Jones dalam satu laporan November lalu berkata, peluang melakukan serangan seperti skala yang dilihat di Paris adalah tipis di Indonesia, namun memberi amaran bahawa ancaman itu terus berkembang tanpa disedari pihak kerajaan. 

Dalam perbualan dengan Reuters, Naim juga bercakap mengenai hal ehwal biasa, menjelaskan bagaimana dia menikmati kehidupan di Syria dan tidak merancang untuk kembali ke Indonesia. "Saya sentiasa bergerak, bergantung kepada arahan pemerintah kami. 

Keadaan di Syria adalah baik. Ada bekalan elektrik, penginapan, air dan ia percuma. Perkhidmatan yang diberikan juga baik, lebih murah daripada di Indonesia," katanya. - Reuters




No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...