Thursday, 7 January 2016

Amaran Buat Rakyat Malaysia

Putrajaya perlu memikirkan kesan menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) ke atas kemerdekaan negara kerana dikhuatiri sejarah lama penjajahan British akan berulang lagi, kata Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

Presidennya Datuk Dr Syed Ali Alattas mendakwa, disebabkan Perjanjian Pangkor pada 1874, Malaysia masih sengsara sehingga hari ini, apatah lagi dengan TPPA yang lebih banyak kandungan perjanjiannya.

"Perjanjian Pangkor 12 muka surat, kita huru-hara sampai sekarang. Sekarang kita ada 6,000 muka surat," katanya kepada pemberita pada satu sidang media di ibu negara hari ini.

Bagaimanapun, Syed Ali berkata pihaknya tidak dapat menghalang Putrajaya menandatangani TPPA.
"Kita jaga peniaga kita, dan tugas makin susahlah, makin berat," katanya.

Sehubungan itu, DPMM berkata pihaknya akan menghantar memorandum susulan sesi meja bulat anjurannya hari ini kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkenaan pandangan mereka.

Memorandum itu akan dihantar DPMM sebelum sidang khas Parlimen berkenaan TPPA yang dijadualkan bulan depan.

Syed Ali berkata, DPMM tidak menghalang perjanjian perdagangan itu ditandatangani, sebaliknya hanya "menyuarakan" kebimbangan mereka terhadap kedaulatan dan kemerdekaan negara.

"Kelapa sawit industri penting kita sampai sekarang pun tak boleh masuk Amerika Syarikat," katanya memberi contoh perdagangan yang disekat di negara barat.

Sehubungan itu, beliau menyeru Putrajaya mengutamakan dagangan dengan negara Asean berbanding TPPA.

"Kita tidak boleh bersaing dengan Eropah. Kita hanya kapasiti kecil. Perahu hendak lawan kapal, belum sampai masanya, bukan kita tidak mahu tandatangan," katanya.

Katanya, DPMM tidak membantah, cuma memberi peringatan kerana negara dan rakyatnya dibimbangi akan terjejas akibat TPPA.

"Pada masa akan datang, kita jangan lupa, apabila rakyat bergantung kepada kerajaan. Majoriti rakyat kita harapkan kerajaan. Jadi, kalau kerajaan susah esok, jangan marah rakyat," katanya.




1 comment:

  1. jangan terkejut kalau lepas ni rakyat malaysia akan terpaksa 'bertuan'kan orang asing tak kiralah samada yang datang dari Amerika, Israel, China, India atau Myanmmar sekalipun... Kalau ada sesiapa yang hendak menentangnya perlu batalkan perjanjian dengan TPPA... kerana walau bagaimana manis sekalipun janji-janji sebelum sebarang perjanjian pasti pada akhirnya akan membelit pihak yang memberikan persetujuan (walaupun yang menandatangani perjanjian tu dah lama mampos kesan buruknya akan ditanggung oleh pihak generasi yang seterusnya).. atau adakah ini menunjukkan bahawa akan lahir Chin Peng 'baru' Mat Kilau 'Baru' Rashid Maidin 'baru, Abdullah C.D 'baru' yang akan menjadi pejuang kebebasan rakyat daripada tertindas... Namun jalan yang paling berkesan halang perjanjian TPPA ni sebelum apa-apa hal yang lebih buruk menimpa

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...