Saturday, 12 December 2015

Ucapan Najib Di PAU 2015 Ditempelak

Ucapan Najib Di PAU 2015 Ditempelak. Walaupun Datuk Seri Najib Razak menerima sokongan memberangsangkan daripada perwakilan yang berucap pada perhimpunan agung parti semalam, realitinya keadaan tidak begitu baik untuk presiden parti dilanda masalah itu.

Najib, yang juga perdana menteri, merasmikan pembukaan perhimpunan itu dengan menghamburkan kecaman terhadap pengkritiknya sambil mempertahankan dirinya terhadap dakwaan skandal kewangan dan pada masa sama, melaungkan taat setia beliau kepada parti dan pemimpin terdahulu, mengatakan beliau "tidak pernah menjatuhkan sesiapa".

Pada masa sama, beliau cuba memujuk musuh tradisi partinya, PAS, mempelawa mereka bergabung tenaga membina sebuah "Malaysia yang sempurna".

Tetapi, beberapa ahli Umno yang ditemui The Malaysian Insider, mengkritik ucapan dan idea yang dilontarkan Najib.

Tidak seperti perwakilan yang berbahas, mereka tidak berpeluang menyuarakan pandangan setelah menerima amaran daripada ketua bahagian mereka. Oleh itu, beberapa ahli hanya mahu bercakap dengan syarat nama penuh mereka tidak digunakan.

Salah seorang daripadanya ialah Izham, Pemuda bahagian Batu, yang berkata Umno kini dilanda "sindrom senyap", di mana ahli disekat daripada bercakap dan mereka yang menegur dilabel pengkhianat.

"Presiden tidak menjawab persoalan, kritikannya hanya menjurus kepada mereka yang mengkritiknya," katanya kepada The Malaysian Insider.

"Permasalahan orang Melayu tidak diulas secara terperinci."

Katanya, Pemuda Umno berdepan kesukaran menghadapi pengundi yang terbeban akibat kos sara hidup yang meningkat, pada ketika pucuk pimpinan bergelut dengan isu seperti skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan derma 2.6 bilion.

"Berbeza dengan perhimpunan sebelum ini, kali ini dilihat suram, kamu boleh lihat sendiri. Tidak meriah seperti tahun sebelumnya.

Ucapan Najib Di PAU 2015 Ditempelak

"Kami sesama Pemuda pun tak tahu mengapa, mungkin terkesan dengan kemelut yang dihadapi sekarang," katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi Asmawi dari Bagan Serai dan seorang lagi yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Ilah dari Melaka tidak setuju dengan cadangan kerjasama PAS-Umno yang disuarakan Najib.

Hadi berkata, walaupun gabungan tenaga mereka boleh mendatangkan lebih banyak undi, sesuatu yang mustahil kedua-dua pihak itu boleh membentuk kerjasama.

"Payah (susah), sebab PAS pun nak kuasa. Masing-masing mahukan kuasa.

"Tetapi kalau setuju (bekerjasama), okaylah. Banyak undi boleh dapat," katanya.

Cik Ilah, bagaimanapun berkata, beliau tidak bersetuju langsung dengan idea itu.

"Saya tidak berminat dengan kerjasama antara Umno dan PAS itu. Saya tidak fikir ia satu langkah yang baik," katanya.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan penjelasan Najib mengenai 1MDB, Cik Ilah berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada Allah.

"Jika dia terbukti bersalah, biar dia kena hukum dengan Allah," katanya merujuk kenyataan Najib yang yakin beliau berada di pihak yang benar dan kebenaran akan terbukti juga.

Katanya, orang muda masih menyokong Umno, tetapi mereka mempunyai beberapa isu dengan kepimpinan parti.

Sementara itu, Mohamad perwakilan dari Johor berkata, beliau dan rakan dari Umno bahagiannya tidak berminat mendengar ucapan presiden dan memilih untuk mengikuti persidangan dari skrin besar di luar dewan.

"Isu yang berbangkit masih tidak dijelaskan, sebaliknya ucapan lebih menjurus serangan peribadi kepada timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Walaupun ada jawapan diberikan terhadap isu 1MDB, derma RM2.6 bilion, tetapi masih tidak jelas. Masih samar-samar. Tetapi kritikannya terlalu keras kepada Muhyiddin," katanya.

Najib semasa merasmikan perhimpunan itu semalam berkata, peranan timbalan presiden adalah untuk membantu presiden, sambil menegaskan presiden adalah "pemimpin utama" parti.

Beliau juga berkata, kepimpinan bukan tentang melemparkan tuduhan terhadap orang lain - yang merujuk kepada ucapan Muhyiddin kepada penyokongnya di Kampung Baru pada Isnin malam menjelang perhimpunan.

Sebahagian ahli Umno berpuas hati dengan penjelasan mengenai pelbagai isu menerusi ucapan dasar presiden mereka, Datuk Seri Najib Razak, semalam. Sebahagian ahli Umno berpuas hati dengan penjelasan mengenai pelbagai isu menerusi ucapan dasar presiden mereka, Datuk Seri Najib Razak, semalam. 


Tetapi tidak semua ahli Umno yang ditemui The Malaysian Insider berkata mereka tidak senang dengan ucapan Najib; ketua cawangan Alor Melintang, Abdul Malik Saad berkata, beliau dan ahli cawangannya berpuas hati selepas mendengar Najib berucap.

Beliau berkata, sebelum ini, ahli di cawangannya keliru dan kecewa dengan perbalahan dalaman parti dan "mula mempercayai propaganda" terhadap presiden.

"Oleh itu, ahli exco cawangan kami mengambil keputusan menyewa bas dan membawa mereka semua datang ke sini hari ini bagi mendengar sendiri presiden menjelaskannya.

"Apabila mendengar presiden (berucap), fikiran mereka lebih tenang. Mereka sekarang lebih jelas tentang isu berbangkit. Mereka tak percaya saya terangkan sebelum ini, tetapi dengan presiden, mereka percaya," kata Malik.

Beliau berharap Muhyiddin akan menerima penjelasan Najib dan tidak lagi bercakap menentang presiden di khalayak ramai.

Beliau berkata, mereka juga "benar-benar suka" dengan cadangan Najib untuk bekerjasama dengan PAS, mengatakan ia sangat ikhlas dan selari dengan keikhlasan presiden parti Islam Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu menasihati kerajaan.

Ucapan Najib Di PAU 2015 Ditempelak

Malik berkata, majoriti ahli Parlimen PAS juga tidak mengundi menolak bajet Barisan Nasional, dan kini tidak lagi menyerang mereka di Parlimen.

"Kita perlu bersatu demi untuk masyarakat," kata Malik.

"Saya juga rasa kasihan kepada PAS kerana mereka seolah-olah dibuli pembangkang. Ahli Parlimen kawasan saya daripada PKR, tetapi dia jarang melawat kawasan dan mereka yang daripada PAS."

Ibrahim Lajim, ahli cawangan Piket 60 dari Sungai Besar, Selangor berkata, beliau hanya mahu kepimpinan Umno bersatu kerana ia akan memastikan akar umbi bermotivasi untuk bekerja dan berkhidmat kepada parti.

Beliau berkata mana-mana parti akan mempunyai perbezaan pendapat di kalangan pemimpin, tetapi perkara tersebut hendaklah diselesaikan di kalangan mereka sendiri, bukan dibawa keluar kepada umum.

Seperti Malik, Ibrahim juga mengalu-alukan kerjasama antara PAS dan Umno untuk "menyatukan masyarakat Melayu".

"Masyarakat Melayu kini semakin berpecah menjadi lebih banyak puak. Mula-mula, pemimpin Umno berpecah daripada kita dan membentuk PKR.

"Sekarang PAS pun berpecah dan ahlinya membentuk parti lain. Kalau masyarakat kita berpecah kepada lebih banyak kem, anak cucu kita yang akan menderita," katanya.





No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...