Monday, 14 December 2015

Kejutan Dari Istana Johor

Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim berdoa supaya wakil rakyat dan menteri di negara ini ikhlas dalam mengutamakan kepentingan rakyat, bukannya mengutamakan akaun bank peribadi dan projek yang dilobi.

Baginda turut menegur ahli politik yang umpama lalang ditiup angin, tanpa pendirian dan rasa tanggungjawab, serta mengutamakan populariti seperti selebriti.

“Sebagai ahli politik, anda perlu turun padang dan mendengar suara dan keluhan rakyat; rakyat yang meletakkan anda di kedudukan selesa anda sekarang.

“Saya juga berdoa supaya suatu hari nanti, tiadalah mereka yang korup dan bersifat perkauman di kalangan kita. Ingatlah bahawa Johor berkembang maju seperti yang kita lihat pada hari ini adalah hasil kerja keras dan keharmonian semua kaum, seluruh Bangsa Johor,” tulis baginda menerusi posting di Facebook rasmi Johor Southern Tigers.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) juga melahirkan kebimbangan dengan ketidakstabilan politik yang melanda negara ketika ini.

Baginda berkata, kepincangan politik yang berlarutan tidak boleh mengubah nasib rakyat menerusi pemberontakan atau demonstrasi.

Nasib rakyat hanya boleh berubah menerusi bidang pendidikan, kata baginda.

“Apabila diri dilengkapi ilmu dan pendidikan yang baik, kita akan lebih bersedia dan mempunyai pengetahuan untuk menentukan hala tuju negara kita,” katanya.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) berkata, baginda amat risau dengan tahap pendidikan yang semakin membimbangkan di negara ini dan mentaliti yang dibentuk daripadanya.

“Pendidikan tidak boleh dikompromi demi tujuan dan kepentingan politik,” kata baginda.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) menasihatkan rakyat supaya rebut apa jua peluang untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan, kerana ilmu adalah kuasa, dan merupakan senjata paling ampuh untuk menjadikan Johor negeri yang lebih maju.

“Saya berjanji akan berusaha bersama kerajaan negeri supaya pendidikan diberikan perhatian penting yang selayaknya, demi masa depan Johor; kerana akan tiba masanya anda semua perlu menentukan masa depan dan apa yang terbaik untuk diri anda dan negeri Johor,” kata baginda.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) berkata, baginda tahu terdapat pihak yang tidak mahu istana Johor bersuara.

“Apa yang mereka tidak faham adalah teguran kami bukanlah hendak menyerang peribadi. Kita hanyalah bersuara demi kepentingan rakyat, kita tidak meraih sebarang keuntungan daripadanya,” kata TMJ.




1 comment:

  1. Kalau Johor boleh hapuskan GST, Insyaallah akan ramai rakyat yang berpindah ke negeri tersebut dari negeri-negeri lain yang mempunyai pemimpin dan Raja yang seperti budak suruhan UMNO sahaja.

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...