Thursday, 24 December 2015

Berita Gempar Dari Sumber Dalaman PAS

PAS hari ini menegaskan parti itu hanya bekerjasama dengan Umno dalam beberapa perkara melibatkan kepentingan Islam, masyarakat serta negara, dan bukannya menyertai Barisan Nasional (BN) sebagai parti komponennya.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata ia merupakan pendirian PAS sejak daripada dahulu lagi dan bukannya merupakan satu perkara baharu dalam pendekatan politik mereka.

"Cuma mungkin dalam suasana yang ada pada hari ini ia (kerjasama) menimbulkan banyak spekulasi. Untuk bersatu dengan Umno, masuk BN, itu semua tak ada.

"PAS memang (sedia) bekerjasama dalam isu-isu yang menyentuh kepentingan ramai," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat exco di Kompleks Kota Darul Naim di Kota Baru, hari ini.

Beliau diminta mengulas agenda perpaduan antara kedua-dua parti politik itu dalam usaha memperkukuhkan umat Islam di negara ini.

Usaha ke arah perpaduan ini bermula dengan kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak yang juga perdana menteri yang menghulur "tali silaturrahim" kepada PAS pada Perhimpunan Agung Umno 2015 baru-baru ini.

Ia diperkukuhkan lagi dengan kehadiran bersama Najib dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada perhimpunan Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia pada minggu lepas.

Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata keputusan untuk bekerjasama dengan Umno dalam beberapa isu yang disepakati itu sudah dibincangkan di peringkat parti.

"Benda ini (kerjasama) kita bincang di peringkat PAS Pusat dalam Lajnah Politik dan bukan keputusan Presiden (Hadi) seorang sahaja.

"(Semua) setuju, tak ada masalah (untuk bekerjasama dengan Umno). Sebab ini menyentuh kepentingan Islam. Bukan dengan Umno sahaja, dengan siapa-siapa kita boleh bincang, kita boleh duduk sekali," katanya.

Dalam perkembangan lain, Amar berkata Parti Amanah Negara (Amanah) perlu mengotakan janji mereka untuk menyokong PAS dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang dan bukannya bertindak meletakkan calon mereka untuk bertanding di negeri ini.

"(Pengerusi Amanah Kelantan) Datuk Wan Abdul Rahim (Wan Abdullah) pernah sebut dari awal parti itu tidak akan kacau Kelantan, (malah) mereka akan bersama dengan PAS untuk pertahan Kelantan dari Umno.

"Apa tujuan Amanah nak bertanding sebab bagi saya, jelas tindakan itu akan membantu Umno kerana ia akan memecahkan undi," katanya.

Presiden Amanah Mohamad Sabu sebelum ini dilaporkan berkata parti itu akan meletakkan calonnya di Kelantan pada PRU akan datang.




2 comments:

  1. Klu aku jd mat sabu pun aku akan lawan pas kat kelantan. Sbb? Hari tu pas sombong sgt kata Amanah boleh hidup 2 tahun aje. Skang nak tengok, muka2 org yg sombong tu menggigil ker tidak....

    ReplyDelete
  2. Adakah bekersama dgn UMNO namanya dgn sikap PAS yg masih menganggap mrk Pembangkang tp membisu dlm isu2 besar yg amat dekat dgn rakyat spt isu 1MDB,RM2.6B,berkecuali mengundi bajet 2016,rang undang2 MKN dan lain2 isu yg amat membebankan rakyat?

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...