Monday, 28 December 2015

Ramai Dah Jangka Berita Mengejutkan Ini

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh mendedahkan identiti individu yang menyumbangkan RM2.6 bilion kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana tindakan itu melanggar Akta SPRM 2009.

Bagaimanapun, Pengarah Operasi Khas SPRM Datuk Bahri Mohamad Zin berkata, pihaknya boleh mengumumkan butiran siasatan kes sumbangan derma RM2.6 bilion itu, serta kes SRC International Sdn Bhd, sekiranya undang-undang dipinda.

"SPRM tiada masalah untuk mendedahkan butiran siasatan andainya ia tidak bercanggah dengan undang-undang.

"Bagaimanapun peruntukan sedia ada tidak membenarkan SPRM berbuat demikian," kata Bahri dalam satu kenyataan hari ini.

Menjawab permintaan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli supaya SPRM mendedahkan butiran individu itu, Bahri berkata, beliau berharap semua orang faham agensi itu terikat dengan undang-undang semasa.

"Sebagai penggubal undang-undang, diharap Rafizi memahami kekangan ini dan mengesyorkan pindaan yang sewajarnya bagi membolehkan SPRM mendedahkan hasil siasatan kes-kes yang disiasat secara terperinci kepada umum," katanya.

SPRM berkata, malah bekas peguam negara Tan Sri Abu Talib Othman juga menyatakan perkara sama kepada sebuah portal semalam, di mana agensi itu tidak ada kuasa sehingga kes yang disiasat dibawa ke mahkamah. 

The Malaysian Insider melaporkan semalam, SPRM tidak boleh mengumumkan hasil siasatannya ke atas SRC International dan RM2.6 bilion, serta cadangan yang dibuatnya kepada pihak pendakwa, kerana ia adalah rahsia.

Sinar Harian hari ini memetik Rafizi sebagai berkata, kredibiliti SPRM menjadi taruhan jika ia enggan mendedahkan nama pemberi derma itu.

Beliau berkata, maklumat itu penting untuk meyakinkan orang ramai tidak ada rasuah terlibat.

Najib sebelum ini berkata, RM2.6 bilion itu adalah sumbangan daripada penderma Arab dan urusan itu dilakukan dengan cara yang sah.

Perdana menteri juga menafikan wang tersebut adalah daripada dana awam atau dikaitkan dengan firma pelaburan milik negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB).




No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...