Wednesday, 2 December 2015

Petunjuk Draf Pertuduhan Terhadap Najib Wujud?

Petunjuk Draf Pertuduhan Terhadap Najib Wujud? Polis mesti menentukan sama ada satu draf kertas pertuduhan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sememangnya wujud atau tidak, sebelum menghina pemberi maklumat atau menafikan akuan berkanun (SD) mereka, sidang Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo berkata demikian mengulas laporan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan kewujudan draf kertas pertuduhan itu apabila isu tersebut timbul pada akhir Julai.

Bagaimanapun, perkara itu dibuktikan palsu oleh adik timbalan pendakwa raya Datuk Anthony Kevin Morais, Charles, yang dalam satu SD mengatakan, pembunuhan abangnya berkait dengan kertas pertuduhan yang beliau sedang rangka terhadap "seorang pegawai kerajaan berpangkat tinggi".

"SPRM mengatakan tidak wujud kertas pertuduhan dan ia membuat laporan menafikannya, tetapi Charles Morais kata ada," Gobind memberitahu Dewan ketika membahaskan Bajet 2016 di peringkat jawatankuasa.

"Jadi, saya ingin tahu apa jadi dengan siasatan polis ini. Saya ingin tahu apa berlaku kepada laporan SPRM yang menafikan terdapat sehelai draf kertas pertuduhan."

Beliau juga bertanya sama ada Najib boleh dibenarkan terus mengekalkan jawatan sebagai perdana menteri jika draf kertas pertuduhan itu memang wujud, kerana pemegang jawatan itu mempunyai kuasa melantik peguam negara.

"Bolehkah kita mempunyai keadaan di mana ada siasatan terhadap perdana menteri tetapi dia masih kekal sebagai perdana menteri? Bolehkah kita mengharapkan satu siasatan yang bebas dan adil?" soal wakil rakyat DAP itu.

Charles berkata, draf kertas pertuduhan ke atas Najib, salinannya didakwa dikeluarkan laman web pemberi maklumat Sarawak Report, mempunyai singkatan nama Kevin di atasnya.

Petunjuk Draf Pertuduhan Terhadap Najib Wujud? 

Dalam satu SD mengandungi 18 muka surat, Charles berkata 2 atau 3 bulan sebelum kematian Kevin, mangsa memberitahu beliau sedang mengusahakan satu kes yang melibatkan seorang pegawai kerajaan di peringkat sangat tinggi.

Pada 30 Julai, Sarawak Report memuat naik apa yang didakwanya draf kertas pertuduhan mengenai tuduhan rasuah terhadap Najib berhubung SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB), pelabur negara yang sarat hutang.

SRC International kini dimiliki Kementerian Kewangan yang diketuai Najib.

SPRM kemudiannya membuat laporan polis, menafikan kewujudan draf kertas pertuduhan terhadap perdana menteri dan seorang lagi, serta menafikan bertanggungjawab terhadap kebocoran dalam siasatan ke atas 1MDB.

Memanggilnya pengecut, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis sedang memburu Charles yang sedang dalam siasatan kerana didakwa menyembunyikan maklumat dan cuba melakukan sabotaj.

Membidas Khalid, Gobind berkata ketua polis itu sepatutnya melihat kepada dirinya sendiri sebelum menghina orang lain dengan memanggil mereka "pengecut".

"Walaupun selepas SD oleh Charles itu, ketua polis tidak tampil mengatakan 'SPRM membuat laporan pada Ogos dan berikut hasil siasatan kami'. Sebaliknya, senyap saja mengenai perkara itu.

"Dia begitu pandai menggelar orang lain tetapi bagaimana pula dengan dirinya? Ada sebabnya mengapa rakyat Malaysia tidak yakin terhadap polis kita sendiri."

Memetik bilangan yang tinggi dalam kes kematian dalam tahanan, Gobind berkata, Khalid sepatutnya malu dengan apa yang berlaku dalam pasukan polis itu sendiri.

"Malulah ketua polis negara. Anda gelar orang pengecut tetapi anda sendiri pun sama. Anda tidak dapat terima hakikat yang pasukan anda tidak mencapai standard yang sepatutnya."



No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...