Monday, 14 December 2015

Patutlah Pimpinan Pelajar Sertai Parti Lain Walaupun Dididik PAS.. Ini Puncanya

Mereka berasal daripada satu jemaah dan tinggal di rumah sewa yang sama ketika belajar, namun 4 sahabat rapat ini memilih parti politik yang berbeza selain PAS, parti yang "mendidik" mereka ketika di kampus.

Ketika di peringkat nasional, pemimpin progresif parti itu keluar dan membentuk Parti Amanah Negara (Amanah), aktivis pelajar Khairul Najib Hashim, Mohammad Amar Atan, Fahmi Zainol dan Adam Fistival Wilfrid, anak didik PAS semasa di Universiti Malaya, menyatakan mereka berasa PAS seperti cuba "mengongkong."

"Kami anggap kampus adalah pusat latihan dan bereksperimen dalam kegiatan kami namun apabila PAS cuba mengongkong, kami mula memberontak," kata Khairul kepada The Malaysian Insider.

Parti Islam itu, yang kini bersendirian kerana enggan menyertai parti pembangkang lain dalam Pakatan Harapan, mempunyai unit pengkaderannya sendiri di semua universiti dalam negara.

UM adalah antara tapak kuat gerakan PAS sejak 1980an lagi apabila ia mula membuat jaringan di kampus selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan menyertai Umno pada 1983.

Aktivis pelajar Khairul Najib Hashim (kanan) adalah bekas presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya yang kini dilantik sebagai exco Pemuda Parti Amanah Negara.
Khairul, bekas presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan Amar, presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) 2014/2015 menyertai Amanah.

Kedua-duanya kini dilantik sebagai exco Pemuda Amanah dan diberikan tugas penting oleh parti pecahan daripada PAS itu.

Fahmi, bekas presiden PMUM 2013/2014 bersama Adam menyertai PKR dan mendapat tempat dalam badan induk parti itu.

Fahmi dilantik pengerusi biro mahasiswa PKR manakala Adam, seorang Kristian dari Sabah dilantik sebagai koordinator myChangeMakers untuk PKR.

Walaupun bukan Islam, Adam dibenarkan menyertai rangkaian kampus PAS.

Ketika mengumumkan penyertaan Fahmi dan Adam ke dalam PKR baru-baru ini, naib presiden parti itu Nurul Izzah Anwar itu berkata beliau yakin penyertaan 2 pelajar itu bakal menjadi pemangkin ke arah kesedaran anak muda akan kepentingan mengambil peduli isu politik dan isu yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat secara am, tanpa mengira agama atau warna kulit.

Keempat-empat mereka asalnya aktivis kampus dan masih tinggal di rumah sewa yang sama sehingga sekarang kerana masih belum menamatkan pengajian masing-masing.

Malah seorang senior mereka, Sheikh Omar Ali, bekas ketua Pemuda PAS kawasan di Johor, turut mengambil keputusan sama meninggalkan parti itu dan lari lebih jauh dengan menyertai DAP, sebuah parti yang dilabel PAS sebagai "anti Islam".

Khairul, yang mengambil jurusan pengajian Islam adalah Amir Kampus untuk jemaah mereka di UM.

"Sebelum kami bertindak melawan arahan kepimpinan PAS beberapa tahun lalu, pelajar Fakulti Perubatan terlebih awal berbuat demikian," cerita Khairul kepada The Malaysian Insider.

Ketika itu katanya, kesemua mereka sangat tidak senang dengan tindakan PAS yang cuba mengongkong gerakan mereka di kampus.

"Mereka (pelajar perubatan) tidak setuju PAS dibawa ke kampus secara langsung. Kami ketika itu boleh bertahan lagi.

"Tetapi apabila PAS cuba mengongkong dengan meminta kami tidak jemput ustaz tertentu, menyekat ustaz ini, penceramah itu tidak boleh, kami rasa PAS seperti (Jabatan) Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang mengongkong kami, sedangkan selama ini kami yang menentang pendekatan HEP ini," katanya.

Bagi mereka, PAS sepatutnya menyediakan modul tarbiah sahaja dan memberi kebebasan bereksperimen di kampus.

Tetapi, apabila PAS mula mengongkong dan dibawa ke kampus secara langsung, sikap mahu melawan mula wujud di kalangan pelajar itu.

Khairul menganggarkan, 50% rakan-rakannya dalam jemaah di UM menyertai Amanah dan hanya 10-15% sahaja kekal bersama PAS.

Manakala selebihnya, tidak menyertai mana-mana parti politik tetapi mengambil peluang pekerjaan termasuk dalam kerajaan.

"Pelajar lelaki lebih ramai menyertai Amanah berbanding wanita.

"Pelajar wanita bukan tidak mahu menyertai Amanah tetapi menganggap tindakan itu sebagai 'meninggalkan' jemaah yang sama-sama kami bina di kampus," katanya.

Fenomena yang sama wujud di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Kongkongan PAS dilihat menghasilkan kumpulan "rebel" (memberontak) yang mula melawan pendekatan parti itu di kampus dan berakhir dengan menyertai Amanah apabila parti itu ditubuhkan.




1 comment:

  1. Tanda2 pas akan lingkup dan pupus perlahan2 sudah makin jelas kelihatan. Ketua pemuda masih sibuk nak berUG. Hahaha..pecat aje hj hadi tu

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...