Thursday, 3 December 2015

Najib Cabut Lari Dengar Berita Ini?

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka akan mengambil keterangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini tentang bekas anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB), SRC International Sdn Bhd dan derma RM2.6 bilion yang diterimanya daripada seorang penderma Timur Tengah.

Sumber memberitahu The Malaysian Insider pegawai SPRM dijangka mengambil keterangan Najib, sama ada di pejabatnya di Parlimen atau di kediaman rasminya, pagi ini.

Difahamkan, percubaan SPRM sebelum ini untuk bercakap dengan perdana menteri gagal kerana kesibukan jadualnya.

Ini ialah perkembangan terbaru siasatan selepas pegawai SPRM, sepanjang hujung minggu, mengambil kenyataan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low, dan pengarah SRC International Sdn Bhd Datuk Suboh Md Yassin.

SRC International merupakan anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Bulan lepas, dalam wawancara bersama The Malaysian Insider, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, beliau memberikan SPRM sehingga hujung tahun ini untuk mengambil keterangan Najib mengenai derma RM2.6 bilion diterimanya dan menambah, siasatan ke atas derma kontroversi itu juga perlu diselesaikan pada waktu sama.

Apandi juga berkata beliau sudah memaklumkan Najib mengenai perkara ini, dan perdana menteri sudah bersetuju untuk disoal siasat.

Sebelum ini pengkritik menuduh pihak berkuasa sengaja melambat-lambatkan siasatan, dan Majlis Raja-raja bulan lepas juga mendesak Putrajaya untuk menyempurnakan siasatan berkaitan dengan 1MDB secepat mungkin.

Pada 2 Julai lepas, The Wall Street Journal (WSJ) menerbitkan sebuah artikel memetik “penyiasat tidak mahu dinamakan” sebagai berkata hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi Najib, sebahagian besarnya dikeluarkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) yang diadakan pada Mei 2013.

1MDB menafikan dakwaan itu, dan Najib juga menafikan mengambil dana negara untuk kegunaan peribadinya.

Perdana menteri juga berjanji akan memberikan kenyataan kepada SPRM “secepat mungkin” mengenai derma politik RM 2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya itu.




No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...