Monday, 7 December 2015

Muhyiddin Akan Lawan Najib Habis-Habisan.. Ini Buktinya?

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan menyampaikan ucapan pada perasmian pergerakan sayap parti dalam perhimpunan agung tahun ini.

Ruang demokrasi dalam Umno sudah tiada. Himpunan yang dianjurkan Muhyiddin adalah satu-satunya tempat untuk beliau berjumpa dengan ahli Umno.

Tan Sri Muhyiddin tidak lagi menghiraukan risiko bakal dihadapinya dan akan terus melawan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak pada ketika tinggal beberapa hari saja lagi sebelum mesyuarat agung parti pemerintah itu berlangsung, kata pemerhati.

Muhyiddin mengambil langkah menganjurkan perhimpunan di Kelab Sultan Sulaiman hari ini selepas disekat daripada berucap di perhimpunan agung tahunan yang akan bermula dengan sayap parti malam esok.

Pemerhati melihat langkah itu menunjukkan timbalan presiden Umno tersebut bersedia mengambil sebarang risiko, sama ada digantung atau dipecat daripada parti.

"Nampaknya Muhyiddin sudah tidak lagi peduli dan kisah dengan tindakan bakal dihadapinya.

"Beliau akan terus melawan presiden," kata aktivis Umno Pokok Sena Ramli Yunus kepada The Malaysian Insider.

Naib Ketua Umno Bahagian Kota Raja Mohd Hamidi Abu Bakar berkata langkah Muhyiddin itu menunjukkan beliau sudah dapat menjangkakan tindak balas bakal dihadapinya dan akan menggunakan himpunan hari ini untuk meneruskan penentangan terhadap Najib.

"Muhyiddin akan dikenakan tindakan lebih buruk lagi, tetapi kita hormat dengan keberanian beliau.

"Ini akan menjadi platform untuk beliau berucap sebagai ahli Umno sebelum dijangkakan dibuang daripada Umno," kata Hamidi.

Beliau berkata, Muhyiddin tersepit antara masa depan politiknya dan suara akar umbi yang mahu beliau terus bersuara.

Namun, kali ini beliau memilih masa depan parti berbanding masa depan politiknya sendiri.

"Ramai orang politik bimbang, kita sebenarnya nak simpan Muhyiddin, supaya tidak dikenakan tindakan. Tapi akar umbi mahu Muhyiddin bersuara.

"Saya rasa Muhyiddin sudah tidak fikir mengenai dirinya, tetapi parti lebih utama," katanya.

Hamidi tidak menolak gerakan yang dipelopori Muhyiddin itu akan berkembang, dan sekurang-kurangnya mesej akan dapat sampai kepada akar umbi, punca sesetengah pemimpin Umno tidak bersetuju dengan Najib.

"Ini permulaan untuk gerakan lebih besar, agar ahli Umno faham, kenapa ada pemimpin yang tidak sehaluan dengan presiden," katanya.

Sumber dalaman parti mengesahkan beberapa pemimpin utama dan veteran Umno bakal hadir malam ini, antaranya Naib Presiden Datuk Shafie Apdal dan bekas presiden Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selain itu, kumpulan pemimpin akar umbi yang tidak berpuas hati menamakan diri mereka Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) juga sudah mengesahkan akan turut hadir.

Salah seorang jurucakap GKCM, Rushdan Mohamed berkata himpunan yang dianjurkan Muhyiddin menunjukkan Umno masih tidak tersasar daripada landasan sebenar di mana ia bukan milik seseorang individu.

"Himpunan esok (hari ini) menunjukkan masih terdapat roh perjuangan dalam Umno dan Umno bukanlah milik individu tapi milik semua rakyat," kata Rushdan kepada The Malaysian Insider.

Rushdan yang juga ketua Umno Cawangan Rista Villa Perdana berkata Muhyiddin terpaksa mengambil langkah dengan mengadakan himpunan sendiri memandangkan ruang demokrasi dalam Umno disekat pucuk pimpinan.


"Bukankah Muhyiddin dipilih 3 juta ahli Umno? Beliau juga berhak bercakap dan bertemu dengan ahli Umno," katanya.

Bilangan yang akan hadir pada himpunan malam ini bukan satu isu, kata Rushdan, dan yang lebih penting, Muhyiddin dapat menyampaikan amanatnya dan ahli memahami kemelut sebenar dihadapi di bawah kepimpinan sekarang ini.

"Sudah memadai untuk menunjukkan masih ada kepimpinan atasan yang boleh diharapkan," katanya.­­­­­

GKCM sebelum ini lantang mendesak Najib supaya berundur dan mengkritik beberapa persoalan yang tidak dijawab membabitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan wang derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Najib.

Sementara itu, bekas perdana menteri Dr Mahathir dalam satu program di Senawang pada Sabtu lalu berkata, Muhyiddin perlu mengambil risiko dan perlu sedia berdepan dengan segala kemungkinan.

"Seperti dalam perniagaan, pasti ada risikonya. Muhyiddin perlu berani mengambil risiko," katanya ketika menjawab soalan salah seorang hadirin apabila ditanya mengenai kemungkinan bakal dihadapi Muhyiddin.

Selasa lalu, Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan mesyuarat 3 sayap parti itu akan dirasmikan ketua masing-masing, dan tidak lagi timbalan presiden seperti kelazimannya.

Katanya, cadangan itu dibuat sayap Umno tersebut.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata minggu lepas, MT akan memutuskan pada Rabu malam siapa yang akan menjawab perkara yang dibangkitkan perwakilan semasa perbahasan.

"Pada pendapat saya, setakat hari ini, presiden sudah mencukupi. Tidak perlu orang lain.

"Itu pendapat saya. Tunggu sehingga mesyuarat MT Khas, mungkin (mereka akan membuat keputusan)," katanya pada satu sidang media di ibu pejabat Umno.

Perhimpunan agung Umno bermula esok dengan pembukaan mesyuarat 3 sayap Wanita, Pemuda dan Puteri.

Muhyiddin hilang jawatan timbalan perdana menteri dalam rombakan Kabinet Julai lalu selepas mengkritik cara pengendalian Najib terhadap syarikat yang diilhamkan beliau, 1MDB, yang sarat dibebani hutang.

Selepas dipecat, beliau masih terus bercakap menentang perdana menteri berhubung perkara ini.

No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...