Tuesday, 15 December 2015

Malang Najib Menimpa Lagi.. Komponen BN Keluar Kenyataan Mengutuk?

Datuk Seri Najib Razak tidak layak menjadi perdana menteri Malaysia kerana terlibat dalam "kelakuan salah" ketika menerima RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadinya, kata Tun Dr Ling Liong Sik dalam kenyataan pembelaannya terhadap saman presiden Umno itu ke atasnya.

Bekas presiden MCA itu, yang didakwa Najib kerana membuat kenyataan tentang sumbangan politik itu berkata, perdana menteri juga gagal mendedahkan identiti pendermanya, sumber dana itu atau bagaimana ia digunakan. 

Dr Ling juga berkata, Najib mengaku menerima RM2.6 bilion sebagai derma pada 8 Disember tahun ini dan tidak menyalurkan wang itu ke akaun Umno.

"Plaintif menjelaskan, menjadi hasrat penderma supaya derma tersebut dibuat kepada plaintif secara peribadi dan, sumbangan itu didepositkan ke dalam akaun peribadi plaintif.

"Ini bertentangan dengan kenyataan awal plaintif yang menyatakan semua dana politik mesti disalurkan ke akaun parti politik itu dan disertakan dengan suatu pengakuan penerimaan, bertujuan demi mencegah rasuah," kata Dr Ling.

Beliau memfailkan pembelaannya hari ini melalui firma guaman Tetuan Ranjit Singh dan Yeoh.

Bekas menteri pengangkutan itu turut mengaku tingkah laku dan perbuatan plaintif merupakan perkara berkepentingan awam yang mesti tertakluk kepada perbincangan awam dan terbuka kepada kritikan dan penelitian yang rapi.

Beliau berkata, pemindahan dana itu, kebanyakannya berlaku pada Mac 2013 sebelum pilihan raya umum tahun itu, menimbulkan persepsi perdana menteri tidak berlaku jujur atau terlibat dalam politik wang untuk membeli keputusan pilihan raya.

Dr Ling juga berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad dan ramai pemimpin dahulu dan sekarang yang mengkritik Najib dan membuat kenyataan yang mencemarkan reputasi beliau tidak disaman kerana memfitnah.

Begitu juga, katanya, perdana menteri juga tidak mengambil sebarang tindakan terhadap The Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report yang mendedahkan mengenai penyaluran dana ke dalam akaun beliau itu.

Ling membuat pembelaan berdasarkan kepada komen yang adil (fair comment) dan perlindungan bersyarat (qualified privilege).

WSJ melaporkan pada Julai, kira-kira AS$700 juta dipindahkan ke dalam akaun bank peribadi Najib - bahagian terbesar dimasukkan kira-kira 2 bulan sebelum pilihan raya umum 2013.

Pada Oktober, Ling dilaporkan bersetuju dengan bekas bosnya, Dr Mahathir, yang Najib "mengambil wang rakyat dan memasukkannya ke dalam akaun peribadi beliau".

"Saya bersetuju dengan Mahathir. Kerana beliau (Najib) mengambil wang rakyat dan memasukkannya ke dalam akaun peribadi beliau," Dr Ling dipetik sebagai berkata pada sidang media di Kuala Lumpur.

Berikutan kenyataan itu, firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak mengeluarkan surat tuntutan bagi pihak Najib kepada Dr Ling di kediamannya.

Surat bertarikh 5 Oktober itu menuntut permohonan maaf dan pampasan dalam masa 7 hari, atau tindakan undang-undang akan dimulakan.

Bagaimanapun, peguam Dr Ling berkata, anak guamnya mempertahankan kenyataannya.




2 comments:

  1. Lawan jangan tak lawan. Biar terdedah perkara ni. Mana org Melayu. Tidur ka.

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...