Saturday, 5 December 2015

Lagi Punca Cerdik Pandai Menjauhi Umno

Umno kini melupakan asal usul liberal dan sederhana yang melakarkan kejayaan untuknya dan sedang dihancurkan golongan neo-fasis serta ekstremis diperkenalkan kepimpinan semasa, kata seorang bekas ahli Parlimen parti itu.

Inilah sebabnya mengapa Umno gagal menarik anak muda Melayu yang terbaik dan bijak, sebaliknya ramai antara mereka menyertai parti seperti PKR dan PAS yang progresif, kata Tawfik Ismail, anak sulung Tun Dr Ismail Abdul Rahman, timbalan perdana menteri pada awal 1970-an.

Ia juga punca Umno mengasingkan bukan Islam dan rakyat Malaysia Timur, yang dulunya pernah menjadi sebahagian penyokong paling setia parti, kata Tawfik, 64, kepada The Malaysian Insider dalam satu wawancara.

Pemerhatian Tawfik dibuat beberapa hari sebelum Perhimpunan Agung Umno, di mana semasa kepimpinan Datuk Seri Najib Razak, pemimpin parti cenderung mencerca "liberalisme" dan mencetuskan kebimbangan terhadap tingkah laku anti-Islam oleh orang bukan Islam.

Kedua-dua Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin kuat menentang liberalisme.

Sifat mereka yang memusuhi ciri-ciri liberal seperti keterbukaan dan keterangkuman oleh pemimpin Umno, merupakan pengkhianatan terhadap hasrat orang terdahulu terhadap parti itu, kata Tawfik .

Umno sememangnya sentiasa dipimpin golongan liberal dan sederhana, katanya, tetapi ia berubah di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad, presiden Umno kelima, yang dipersalahkan Tawfik kerana menerajui parti ke arah konservatif agama dan fasisme politik.

"Apa salahnya menjadi liberal dan sederhana? Tidak mungkin ia satu dosa kerana Umno sentiasa dipimpin golongan liberal dan sederhana. Cuma Dr Mahathir yang fasis," katanya.

"Adakah anda mahu mengutuk datuk nenek kami mengatakan mereka jahiliah? Mereka semua salah? Saya rasa anda melahirkan lebih ramai golongan radikal dengan menggalakkan pemikiran ekstremis," kata Tawfik .

Tawfik merujuk kepada bapa Najib iaitu perdana menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Razak merupakan timbalan perdana menteri di bawah Tunku Abdul Rahman.

Dalam satu temu bual pada 1960 dengan akhbar Utusan Malaysia, Tunku berkata, salah satu matlamat Perikatan ketika itu ialah mewujudkan masyarakat yang liberal.

Tawfik menyertai Umno pada 1981, melalui cawangan Larkin di bahagian Johor Baru.

Ketika itu, keyakinan dan harapan tinggi diletakkan kepada Dr Mahathir dan bekas timbalan presiden Umno Tun Musa Hitam untuk membawa perubahan positif kepada negara.

"Saya masuk Umno kerana terdapat harapan dalam keluarga dan rakan-rakan ayah saya supaya saya membawa nama dan ideal Tun Dr Ismail pada masa depan."

Jawatan beliau yang terakhir ialah sebagai naib ketua bahagian Sungai Benut ketika beliau menjadi ahli Parlimen kawasan itu dari 1986 hingga 1990.

Apabila bahagian dan kawasan Parlimen itu dipecahkan kepada Pontian dan Simpang Renggam, beliau dipindahkan ke Umno bahagian Pontian. Sehingga tiga tahun lalu beliau merupakan ketua cawangan Sanglang bahagian itu.

Berikut petikan temu bual di SINI.





No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...