Wednesday, 30 December 2015

Berita Mengejutkan Buat Penduduk Kuantan

Hujan lebat sepanjang hari semalam, menyebabkan air Sungai Balok di Kuantan dan pantai berhampiran “bertukar” warna seakan-akan merah dipercayai dicemari bahan galian bauksit.

Penguasaha bot bersebelahan Sungai Balok, Ibrahim Muhammad, 45, berkata beliau menyedari air sungai itu mula berwarna merah pada pagi ini, semasa hendak memulakan kerja membaiki bot. 

"Biasanya air sungai ini berwarna kuning, bukan merah seperti ini. Di atas kawasan berbukit di sana ada berlaku aktiviti (galian) bauksit. Mungkin air hujan bercampur bauksit menyebabkan sungai bertukar warna

"Air sungai merah juga menyebabkan bahagian bawah bot yang berwarna putih diletakkan di sungai menjadi merah," katanya kepada Bernama di Kuantan, hari ini. 

Air sungai itu yang mengalir ke laut juga menyebabkan air di beberapa kawasan pantai termasuk Pantai Batu Hitam turut berwarna kemerah-merahan, seperti “bercampur” air lumpur.

Aktiviti perlombongan bauksit juga menyebabkan penduduk berhampiran tidak senang duduk semasa hujan lebat, kerana bimbang berlaku runtuhan tanah bauksit atau banjir disebabkan longkang dipenuhi tanah.

Guru, Kamarul Ismail, 41, yang menetap di Taman Beserah Jaya berkata beliau akan meninjau keadaan tanah dan longkang bersebelahan rumahnya sebaik sahaja hujan berhenti kerana pernah berlaku longkang dipenuhi tanah akibat “dibawa” air.

"Kejadian sama berulang lagi apabila hujan lebat semalam. Saya bimbang jika berlaku banjir...kawasan ini mempunyai sejarah banjir pada tahun 2013.

"Yang paling dibimbangi jika banjir berlaku tahun ini, air mungkin naik lebih cepat disebabkan longkang semakin cetek akibat mendapan tanah bauksit yang terkumpul semasa hujan," katanya.

Pendapat sama disuarakan tukang kebun Madrasah Asyraful Madaris di Beserah, Abdul Razak Abu Bakar, 48, yang berkata air longkang berhadapan madrasah itu semakin cepat naik selepas aktiviti perlombongan bauksit di situ, bermula tahun lalu.

Beliau bimbang dengan keselamatan 150 pelajar di madrasah itu yang akan kembali meneruskan pengajian pada 4 Januari ini jika berlaku banjir secara tiba-tiba.




No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...