Sunday, 6 December 2015

Berita Gempar Dari Ketua Polis Negara

Seorang guru Eropah di Pulau Pinang adalah antara 5 lelaki ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan, kata Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini.

Ketua polis negara itu berkata, mereka ditahan susulan operasi khas bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas di sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Johor, antara 17 November dan 1 Disember lalu.

"Suspek pertama yang ditangkap di Kuala Lumpur adalah seorang warga Eropah berusia 44 tahun yang bekerja sebagai guru sambilan bahasa Inggeris di Pulau Pinang.

"Suspek disyaki pernah menyertai kumpulan pengganas al Qaeda serta terlibat di dalam aktiviti keganasan di Afghanistan dan Bosnia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suspek ke-2 ialah rakyat sebuah negara Afrika yang berusia 29 tahun dan ditangkap di Cheras, Selangor. 

"Suspek merupakan pelajar di sebuah kolej swasta di Petaling Jaya dan disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan," kata Khalid.

Katanya, 3 daripada 5 suspek ditangkap di Kelantan, Selangor dan Johor, dan merupakan ahli kumpulan sel yang disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis)

Ketua sel itu, ditangkap di Johor, menurut Khalid, ialah seorang warganegara Indonesia berusia 31 tahun dan bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel lori. 

"Beliau berbai’ah dengan Abu Bakar al-Baghdadi, pemimpin Isis melalui Facebook pada pertengahan tahun 2014. 

"Suspek turut mempunyai hubungan dengan beberapa rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan Isis di Syria. 

"Beliau disyaki bertindak sebagai fasilitator bagi mengatur individu dari Malaysia dan beberapa negara Asia Tenggara yang berhasrat menyertai kumpulan Isis di Syria dan beberapa kumpulan pengganas di rantau Asia Tenggara."

Seorang lagi anggota sel itu ialah rakyat Malaysia berusia 59 tahun, bekerja sebagai tukang jahit dan merupakan seorang anggota Rela.

"Beliau ditangkap di Kota Baru, Kelantan kerana disyaki bertanggungjawab merekrut dan mengatur anggota baru sel ini untuk terlibat dengan aktiviti keganasan di luar negara," katanya.

Suspek terakhir, kata Khalid, warganegara Bangladesh berusia 25 tahun, bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat swasta, yang merancang berjihad menyertai Isis di Syria.

"Tiga suspek (berkaitan Isis) semuanya ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA – kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747)

"Sementara 2 lagi suspek ditangkap di bawah Akta Imigresen 1959/63 untuk tujuan pengusiran," katanya.

Setakat Oktober lalu, jumlah tangkapan berkaitan Isis bagi tahun ini ialah 36 orang selepas 13 lelaki ditahan di Shah Alam.



1 comment:

  1. Betul ka mereka terlibat ISIS?
    Atau main sekup jarang ja.
    org yg cakap2 nak terkentut..tak semesti dia kentut.

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...