Wednesday, 23 December 2015

Berita Buruk Buat Penjawat Awam

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mungkin akan menarik balik kebenaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) membuat pemotongan gaji untuk kakitangan awam, sekiranya agensi itu masih melaksanakan pemotongan maksimum.

Presidennya, Datuk Azih Muda melahirkan rasa kesal kerana ada kakitangan awam yang dipotong gaji mereka oleh PTPTN sehingga kepada kadar maksimum dan tindakan itu adalah tidak wajar dilakukan serta membebankan kedudukan kewangan mereka.

"Ada slip gaji kakitangan awam yang tinggal sampai RM19, nak makan apa nanti? Gunakanlah kuasa sebaik-baiknya.

"Cuepacs juga mengingatkan, kami tidak akan teragak-agak untuk menarik balik keputusan benarkan penjawat awam potong gaji mereka untuk bayar PTPTN," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Cuepacs 2015 di Kuala Lumpur, hari ini.

Justeru, beliau menasihatkan PTPTN agar lebih bertimbang rasa terhadap kakitangan awam dalam melaksanakan pemotongan gaji agar kakitangan awam tidak terbeban dalam aspek kewangan.

Isu PTPTN, menurut Azih adalah antara 4 perkara yang menekan kehidupan kakitangan awam pada masa kini.

Tiga isu lain yang perlu perhatian kerajaan ialah kenaikan kos sara hidup rakyat, mekanisme penetapan harga rumah dan pelaksanaan 252 skim perkhidmatan.

Mengenai kenaikan kos sara hidup, beliau meminta Kementerian Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) campur tangan secara serius dalam isu kenaikan harga barangan, terutamanya barangan dan perkhidmatan yang telah diberi pengecualian daripada dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

"Kami (Cuepacs) rasa kesal kerana kenaikan harga barang yang sepatutnya 0% dalam GST, dinaikkan," katanya.

Beliau juga meminta kerajaan agar segera mewujudkan mekanisme penetapan harga rumah dan mencadangkan agar mekanisme tersebut dapat meletakkan penetapan bagi peratusan kadar harga rumah serta keuntungan, yang bakal diperoleh oleh pemaju perumahan.

Cuepacs turut memohon agar kerajaan memperuntukkan jawatan bagi kenaikan pangkat untuk kakitangan awam yang berkhidmat di bawah agensi negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan (PBT), katanya.

Kata Azih, ia selari dengan pelaksanaan sebanyak 252 Skim Perkhidmatan yang akan berkuat kuasa pada 1 Julai tahun depan agar pekerja tidak dinafikan hak dan peluang mereka untuk menerima kenaikan gaji yang lebih tinggi berikutan peningkatan kos sara hidup.




1 comment:

  1. Bangang ka apa potong gaji sampai balane gaji tinggai RM19.00

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...