Thursday, 31 December 2015

Alasan Mengejutkan Dari MB Pahang Berkenaan Perlombongan Bauksit

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Tengku Zulpuri Shah Raja Puji kecewa dengan sikap kerajaan negeri yang sering memberi alasan dalam mengendalikan isu perlombongan bauksit di sana.

Beliau berkata, pihak pembangkang bersama-sama NGO sudah melakukan pelbagai cara untuk membantah perlombongan bauksit di sekitar Kuantan. “Kita sudah bangkitkan isu ini di sidang DUN.  Malah Menteri Besar (Datuk Seri Adnan Yaakob) sendiri akui masalah dalam penguatkuasaan.

Kita juga bersama-sama NGO mengadakan demonstrasi dan laporan polis.“Namun MB hanya beri alasan yang perlu ambil kesempatan dengan harga bauksit yang tinggi pada tahun ini dan keadaan akan berbeza pada tahun depan,” dakwanya ketika dihubungi FMT.

Menurut beliau, pihaknya juga sudah meminta pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuat sekatan terhadap lori bauksit yang melanggar peraturan.

“Tetapi ia dijalankan secara tidak menyeluruh dan konsisten. MB pernah kata akan mengarahkan lori menggunakan guni bagi mengelakkan debu bauksit tersebar dan jatuh ke jalan raya. Ini semua adalah gimik dan alasan sahaja,” dakwa Adun Mentakab itu lagi.

Kemarahan penduduk sekitar terhadap kegiatan ini dilihat telah memuncak apabila dikatakan sudah enam buah lori pengangkut bauksit yang dibakar.


Jabatan Alam Sekitar dilaporkan sedang menyiasat kejadian itu, yang didakwa sesetengah pihak angkara aktiviti perlombongan bauksit.

“Keadaan betul-betul sudah teruk. Saya tidak tahu apa lagi yang boleh dibuat, kecuali tukar kerajaan,” katanya lagi.

Beliau menegaskan bahawa pembangkang tidak menghalang sebarang kegiatan yang boleh mendatangkan hasil kepada rakyat dan kerajaan negeri, tetapi ia perlu mematuhi peraturan.

Selain menyusahkan penduduk, ia juga mengancam alam sekitar. Adakah kita mahu bencana alam berlaku, seperti apa yang terjadi di Cameron Highlands?” katanya lagi.

Beliau merujuk peringatan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berhubung risiko berlakunya bencana alam di sana.

Menurut laporan Sinar Harian 11 Julai lalu, Tengku Abdullah meminta kerajaan negeri lebih tegas dalam menangani isu perlombongan bauksit secara haram kerana boleh mendatangkan musibah apabila tibanya musim tengkujuh.




1 comment:

  1. kalaulah kerajaan Pahang cerdik sikit mereka kena buat satu analisis Faedah -kos. Ini supaya mereka dapat bandingkan anatara faedah diterima daripada perlombongan bauksit itu spt peluang kerja, pendapatan cukai, kenaikan permintaan bagi sektor lain umpamanya VS kos daripada perlombongan itu seperti pencemaran alam, kemusnahan alam sekitar, kejatuhan industri pelancongan, jenayah dan kemalangan dsbnya. Maka kesimpulan perlu dibuat untuk menenruskan atau memberhentikan. Bukan soal harga tahun ini lebih baik.

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...