Friday, 4 December 2015

2 Bekas Hakim Kantoikan Zahid Hamidi

Dua bekas hakim Mahkamah Rayuan tidak bersetuju dengan hujah subjudis yang dikemukakan oleh pihak kerajaan sebagai sebab Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak menjawab soalan di Parlimen berhubung RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya oleh seorang penderma dari Timur Tengah.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof hari ini berkata perkara subjudis tidak timbul sama sekali, kerana isu itu tidak didengar di mana-mana prosiding mahkamah.

"Sesuatu siasatan (yang berjalan terhadap sesuatu perkara), bukan satu prosidng kehakiman. Peraturan mengenai subjudis wujud untuk mencegah perbicaraan oleh media atau dengan cara luaran yang lain supaya hakim dan juri tidak akan dipengaruhi oleh faktor-faktor luar dalam membuat penghakiman atau keputusan," kata Mohamad Ariff kepada Malaysiakini.

Menurutnya, apabila sesuatu isu telah memasuki domain awam dan terdapat minat kepentingan awam yang mendalam untuk mencari kebenaran terhadap perkara itu, maka tidak ada isu subjudis jika tidak ada prosiding kehakiman mengenai perkara itu yang sedang berjalan.

Isu sebenar dalam kes ini, kata Mohamad Ariff ialah kebebasan dan akses kepada maklumat mengenai perkara yang mempunyai kepentingan awam.

Mohamad Ariff, ketika menjadi hakim Mahkamah Tinggi, menolak prosiding menghina mahkamah yang dibawa Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) terhadap peguam Fahda Nur Ahmad Kamar berhubung kenyataan beliau mengenai pengambilalihan industri air, ketika mewakili kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, seperti ia dilaporkan dalam Harakah.

Beliau memutuskan bahawa mahkamah perlu berhati-hati dalam menggunakan prosiding menghina untuk menyekat kebebasan bersuara dan dalam memetik Lord Denning, beliau berkata "komen yang adil tidak subjudis terhadap perbicaraan yang adil".

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman Said mengumumkan bahawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang bangun bagi pihak Najib dalam menjawab soalan berhubung derma RM2.6 bilion di Parlimen, memetik subjudis sebagai sebab Najib tidak datang sendiri untuk menjawab perkara itu .

Azalina, juga seorang peguam berkata, Najib telah dinasihatkan oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali supaya tidak menjawab perkara itu di Parlimen kerana ia akan menjadi subjudis untuk berbuat demikian.

Subjudis adalah istilah latin yang bermaksud "dalam pertimbangan kehakiman", yang bermakna sesuatu kes atau perkara yang sedang dalam perbicaraan atau sedang dipertimbangkan oleh hakim atau mahkamah.


Seorang lagi bekas hakim Mahkamah bekas Rayuan, Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus (gambar) memberitahu Malaysiakini bahawa beliau tidak bersetuju dengan pandangan Apandi itu.  

Katanya, beliau tidak fikir bahawa ia adalah subjudis untuk perdana menteri menjelaskan di Parlimen tentang RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya.

Menurutnya, beliau sehaluan dengan pandangan seperti yang dinyatakan oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Sri Gopal Sri Ram dan Datuk Ambiga Sreenevasan mengapa penjelasan yang diberikan oleh perdana menteri di Parlimen mengenai RM2.6 bilion tidak akan menjadi subjudis.

Sebaliknya, tegas Hishamudin, perdana menteri mempunyai tanggungjawab untuk menjelaskan kepada Parlimen dan kepada negara mengenai RM2.6 bilion itu," kata Hishamudin.

Sumber



No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...