Sunday, 8 November 2015

Utusan Malaysia Belasah Speaker Dewan Rakyat

Utusan Malaysia hari ini membidas kenyataan letak jawatan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung isu debat antara ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negera (PAC) Tony Pua dan Presiden 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy.

Awang Selamat menerusi ruangan pojok akhbar itu berkata tidak wajar Pandikar mengeluarkan kenyataan mahu meletak jawatan, apatah lagi ia merupakan kedudukan mulia di dalam Dewan.

"Mengapa Pandikar harus mengeluarkan kata-kata mahu meletakkan jawatan jika perdebatan itu diteruskan. Tanpa menyebut ungkapan itu sebenarnya sudah cukup menggambarkan ketegasan beliau.

"Sebagai Speaker, tidak sesuai untuk mudah memberikan kata dua, apatah lagi jawatan tersebut mulia dalam konteks Dewan Rakyat yang beliau sendiri anggap sebagai jantung demokrasi," katanya dalam edisi mingguan akhbar itu hari ini.

Awang berkata, ini bukan kali pertama Pandikar membuat kenyataan tersebut kerana beliau pernah melakukan perkara sama sebelum ini atas alasan kecewa kerana tiada pembaharuan Parlimen.

Khamis lalu, Pandikar mengancam meletak jawatan sekiranya Pua, yang juga ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, berdegil meneruskan debat secara langsung di televisyen mengenai 1MDB bersama Arul.

Meskipun tidak menghalang perdebatan tersebut, Pandikar berkata, ia sewajarnya diadakan hanya selepas selesai siasatan PAC mengenai skandal syarikat pelaburan negara yang sarat hutang itu.

Sementara itu, Awang dalam tulisannya di akhbar Utusan Malaysia itu turut memuji Arul yang dilihat sebagai contoh pemimpin sebenar kerana berani menyahut cabaran dan tidak menyembunyikan diri.

Katanya, Arul melakukan tugasnya dengan baik sejak mentadbir 1MDB dengan memberi penerangan secukupnya, malah lebih bagus daripada ketua pegawai eksekutif (CEO) terdahulu.

"Awang angkat topi kepada Arul, beliau bukan sahaja proaktif dan berani dalam menjawab persoalan, malah tohmahan berkaitan isu 1MDB, hujah-hujahnya juga bernas dan menyakinkan.

"Walaupun bukan ahli politik, 'rating' Arul meningkat, sementara Pua merundum. Pemimpin dan ketua sebenar diuji ketika melalui detik sukar dan mencabar," katanya.




1 comment:

  1. Utusan Malaysia ni naive rupanya.....wahai warga Utusan malaysia....hakikatnya satu skrip telah ditulis : scene pertama , salleh kruak menteri najib dari sabah bagi tau boleh debat ditv....sibuklah...para pembangkang...scene kedua, pandikar pura2 marah , membrontak(ingat pandikar ni bangsa illanun@ irranun tau...berani) pandikar ugut letak jawatan kononnya nak pastikan tiada masalah keatas PAC....secne ketiga salleh kruak batalkan atas sebab2 bodoh....INGAT KERJA MENTERI NAJIB BUKASN UNTUK RAKYAT TAPI SUPAYA TUAN MEREKA SELAMAT...ingat mereka dilantik bukan kerana kecekapa atau mampu melaksanakan tugas tapi berkat keupayaan mengampu...

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...