Wednesday, 11 November 2015

Rahsia Peguam Negara Terbongkar?

Rahsia Peguam Negara Terbongkar? Pelantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai peguam negara kira-kira 3 bulan lalu, penuh dengan kontroversi.

Ia dibuat di tengah-tengah dakwaan gangguan kerajaan dalam siasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), apabila pegawai penguatkuasa ditahan atau dipindahkan, ketika Kabinet dirombak, sementara pendahulu Apandi, Tan Sri Abdul Gani Patail dilucutkan sebelum tiba tarikh persaraannya.

Peristiwa yang membawa kepada pelantikan Apandi, begitu juga hubungan beliau dengan parti pemerintah Umno – mengikut laporan berita, beliau pernah berkhidmat sebagai bendahari Umno Kelantan – menjadi bahan cemuhan pengkritik.

 Tetapi, dalam satu temu bual media pertamanya sejak mengambil alih jawatan sebagai peguam negara pada Julai, Apandi, 65, tidak sabar-sabar untuk menjelaskan kontroversi yang menyelubungi beliau – bermula dengan biografi beliau yang menimbulkan perbalahan.
"Ini tidak betul! Saya tidak pernah, langsung tidak pernah, menjadi bendahari Umno," katanya kepada The Malaysian Insider, menghentak tangannya atas tempat letak tangan di sofa bagi menekankan kata-katanya.

Rahsia Peguam Negara Terbongkar?

Katanya, beliau tidak tahu bagaimana "pembohongan" itu memasuki biografi rasminya, sambil menambah, "Saya hendak jerit pada orang yang menulis biografi itu!"

Berpakaian baju merah dan seluar jeans biru, dengan wajah sedikit berkerut, jelas peguam negara itu 'separuh bergurau' dalam menyatakan kemarahannya berhubung mitos lama yang masih berpanjangan itu.

Bercakap mengenai zamannya sebagai ahli Umno dari 1982-1991, Apandi berkata, kedudukan rasmi tertinggi yang beliau pegang iakag ketua Pemuda Umno bahagian Pengkalan Chepa, di Kelantan.

Tetapi bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu dengan pantas menambah, jawatan beliau dalam Umno itu "tidak ada apa-apa" dan tiada kaitan dengan badan perhubungan negeri.

Beliau juga dikenali sebagai "penasihat undang-undang" Umno kerana beliau mengendalikan petisyen pilihan raya parti itu selepas Pilihan Raya Umum 1982.

Tetapi, dalam perlembagaan parti, tidak ada jawatan yang dikenali sebagai penasihat undang-undang, kata Apandi.

Ada yang berpendapat, walaupun tiada jawatan, pengalamannya bertahun lama dalam Umno akan membuat beliau terhutang budi kepada parti.

Tetapi Apandi menjawab, beliau menghabiskan masa jauh lebih lama dalam Majlis Peguam: 12 tahun, dari 1991-2003, dan beliau malah bercakap menentang kerajaan apabila mereka di pihak yang salah.

Beliau pernah berkhidmat sebagai bendahari majlis peguam selama dua penggal, menjadikannya sebahagian daripada 'inner circle' (golongan dalam), katanya.

"Saya menjadi mangsa persepsi yang salah kerana tempoh pendek saya dalam Umno, di mana saya tidak memegang apa-apa jawatan tinggi, digunakan untuk menyatakan saya seorang ahli Umno dan sebagainya.

"Tetapi dari sisi lain, saya lebih aktif dalam Majlis Peguam."

Tetapi, sejarah silam Apandi bukanlah satu-satunya perkara yang menghantuinya sejak memegang jawatan itu; rakyat Malaysia sebahagian besarnya terperanjat apabila peguam negara itu secara tiba-tiba membubarkan pasukan petugas menyiasat 1MDB.

Pasukan petugas itu dianggotai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis, Bank Negara Malaysia dan peguam negara.

Sebagai gantinya, Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET) ditubuhkan, yang diketuai Apandi. Dan beliau menegaskan, NRRET tidak ada kena mengena dengan 1MDB.

Rahsia Peguam Negara Terbongkar?

Apandi mengakui, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri yang menawarkan beliau jawatan sebagai peguam negara itu dalam masa yang singkat.

"Ia mengejutkan saya, saya sebenarnya tidak sabar untuk bersara tahun ini – saya sepatutnya bersara tahun depan hendak pergi bercuti dengan isteri saya, dan tiba-tiba, tawaran ini datang," kata Apandi, yang sedang berkhidmat sebagai hakim mahkamah persekutuan ketika ditawarkan jawatan itu.

Katanya, beliau diberi 2 hari untuk memberi jawapan, dan beliau berunding dengan isteri dan rakan-rakan hakim lain serta ketua hakim negara, sama ada untuk menerima tugas itu atau tidak.

"Keputusan saya berdasarkan kepada, 'saya fikir negara memerlukan saya'. Oleh itu, apabila tawaran itu dibuat, saya menerimanya.

"Seseorang perlu melakukan tugas itu. Saya menerimanya, demi Raja dan negara."

Sejak mengambil kedudukan itu, Apandi berkata, beliau tidak menyesal.

"Hati nurani saya jelas. Bantal yang paling lembut adalah hati nurani yang jelas," katanya.

PETIKAN DARIPADA TEMUBUAL

TMI: Anda pernah menjadi bendahari Umno Kelantan. Adakah anda fikir ini akan digunakan terhadap anda, kerana memenuhi kehendak kerajaan dalam tugas semasa anda sebagai peguam negara?

APANDI: Berkenaan bendahari Umno Kelantan. Ini saya perlu dapatkan bantuan anda untuk memberitahu dunia yang ia satu pembohongan.

TMI: Pembohongan?

APANDI: Ya. Ini tidak betul! Saya tidak pernah, langsung tidak pernah, menjadi bendahari Umno.

TMI: Bio (biografi) anda mengatakan begitu.

APANDI: Ini sudah lama terjadi. Bio? Siapa yang menulis bio itu? Saya pun tidak tahu. Saya hendak jerit pada orang yang menulis bio itu! Tidak sekali-kali! Dan perkara ini, anda boleh semak dengan mudah. Ada dalam rekod. Ini tidak betul.

TMI: Mengapa Umno tidak tampil dan berkata, 'Dia bukan Bendahari Umno Kelantan'?

APANDI: Tidak ada masalah besar bagi mereka. Malah mereka mungkin bangga dengannya!

TMI: Ini tidak nampak baik untuk anda, Tan Sri.

APANDI: Sebab itu saya melihat kepadanya (permintaan untuk mengadakan wawancara) dan saya fikir, wah, ini peluang. Tidak pernah sekali-kali, tidak pernah dalam hidup saya.

TMI: Jadi, anda tidak pernah terlibat dalam politik?

APANDI: Saya penasihat undang-undang Umno. Mereka menggelarnya penasihat undang-undang. Anda tahu mengapa? Anda ambil perlembagaan Umno. Tidak ada jawatan yang dikenali sebagai penasihat undang-undang. Tidak ada! Anda tahu mengapa saya dipanggil penasihat undang-undang? Kerana saya ambil kes petisyen pilihan raya Umno. Saya buat banyak petisyen pilihan raya untuk Umno. Semua kes di Kelantan, dari 1982 dan seterusnya, apabila saya menjadi peguam. Saya buka firma guaman sendiri, jadi selepas pilihan raya umum pada 1982, saya ambil semua kes petisyen pilihan raya mereka.

TMI: Anda mewakili Umno, sebab itulah anda dapat label itu?

APANDI: Ya, penasihat undang-undang Umno. Dan saya katakan kepada anda, siapa bendahari ketika itu? Anda boleh tanya dia, dia masih hidup. Pada masa itu beliau dikenali sebagai Datuk Nik Husain Abdul Rahman. Sekarang dia seorang Tan Sri. Dia Pengerusi Pembangunan Malaysia-Thai. Dia orangnya yang membuat jalan dari Karak ke Kuala Lumpur. Projek usaha sama pertama untuk pembangunan Malaysia-Thai.

TMI: Adakah anda pernah menjadi ahli Umno?

APANDI: Ya, saya pernah.

TMI: Ahli Umno biasa?

APANDI: Tolong tunggu sekejap, ceritanya panjang. Untuk makluman, saya pernah menjadi ahli Umno. Tetapi semasa menjadi peguam, saya sangat aktif dalam Majlis Peguam. Dan untuk menjadi pemegang jawatan dalam Majlis Peguam, kita tidak boleh menjadi ahli mana-mana parti politik. Jadi, saya meletak jawatan dari apa saja pertubuhan atau parti politik apabila saya terlibat dalam Majlis Peguam. Dan untuk makluman, saya berada dalam Majlis Peguam selama hampir 12 tahun (1991-2003). Ini tidak terdapat dalam tulisan tentang saya.

Dan saya ingin tekankan, saya memegang jawatan bendahari. Dua kali. Saya ingin tekankan sekali lagi. Bangunan itu, yang kini dimiliki Majlis Peguam, adalah idea saya ketika saya menjadi bendahari. Saya beritahu Majlis Peguam, 'Hei, kita menyewa premis di sana sini. Tiba masanya kita membeli satu. Saya bertanggungjawab dan saya dapatkan wang untuknya. Dan itulah, bangunannya. Ia patut dinamakan Bangunan Apandi.

Dan ketika saya dalam Majlis Peguam, kami menganjurkan Persidangan Undang-undang Komanwel yang paling berjaya pada 1999, Persidangan Komanwel ke-16. Dan kerana kami sangat berjaya, saya menjadi bendahari dan kemudian, kami mengumpul banyak wang. Dengan itu, saya dapat idea untuk membeli bangunan kami sendiri. Jadi, membandingkan kehidupan saya sebagai ahli Umno dan ahli Majlis Peguam, saya menghabiskan lebih banyak masa di Majlis Peguam daripada Umno.

TMI: Berapa tahun dalam Umno?

APANDI: Dari 1982 hingga 1991.

TMI: Adakah anda memegang apa-apa jawatan dalam Umno?

APANDI: Dalam Umno, saya menjadi ketua Pemuda bahagian Pengkalan Chepa. Itu saja. Ia tidak ada kena mengena dengan badan perhubungan negeri. Tiada. Jawatan bendahari itu berkait dengan badan perhubungan negeri yang besar. Saya tidak pernah jadi bendahari. Sila padamkan perkara itu dari mana-mana saja.

Tetapi jika anda bercakap tentang menjadi bendahari, saya bendahari Majlis Peguam dan saya salah seorang ahli yang memegang jawatan, 'the inner circle' (golongan dalaman). Anda tahu siapa golongan dalaman? Presiden, naib presiden, bendahari, setiausaha. Empat orang. Mereka ini golongan dalaman. Mereka semua boleh menjadi ahli Majlis Peguam, tetapi mereka tidak menyertai perbincangan dalaman. Saya adalah sebahagian daripadanya.

Pertama kali saya menjadi bendahari, saya mula keluarkan buah fikiran saya. Jadi, mereka semua cuba tutup mulut saya. Marah saya. Golongan dalaman ini. Orang seperti Tommy Thomas dan Sulaiman Abdullah. Saya beritahu anda nama mereka.

Mereka mahu kenakan saya kerana pada masa itu saya pengerusi Peguam Kelantan. Saya pengerusi Peguam Kelantan selama 7 tahun. Jadi sebagai pengerusi Peguam Kelantan, akhbar kadang-kadang datang dan bertanya saya macam-macam, jadi, saya berikan pandangan saya mengenai apa saja isu yang dibangkitkan.

Sesetengah pandangan saya tidak disukai golongan dalaman Majlis Peguam. Jadi mereka mula menghentam saya dan sebagainya. Jadi, kami boleh dikatakan, menghentak meja. Saya dan Sulaiman. Dan kemudian saya lihat, semua orang memerhatikan apa yang saya katakan, mereka cuba untuk kenakan saya. Kita mempunyai hak untuk bercakap, bukan?

Di luar, anda memberitahu rakyat, kita mempunyai hak untuk bercakap, (tetapi) di sini, di Majlis Peguam, anda cuba menutup mulut saya. Saya cuba bercakap dengan akhbar, anda beritahu saya tidak boleh buat begitu, perlu berhenti. Itu menyekat saya dari bercakap. Anda cuba tutup mulut saya. Jadi, saya meletakkan jawatan sebagai ahli Majlis Peguam pada 2001.

Orang yang boleh memberitahu semua ini, saya katakan kepada anda, ialah seorang yang sinonim dengan Majlis Peguam, Cik Catherine Eu. Dia masih hidup, ingatannya masih baik, pergi tanya dia. Dia boleh jamin apa saja yang saya beritahu anda.

Bercakap mengenai Majlis Peguam, saya berada di Majlis Peguam sebelum orang seperti Ambiga (Datuk S Ambiga), Lim Chee Wee, Christopher Leong dan Steven Thiru. Steven Thiru (presiden Majlis Peguam sekarang) masih merupakan seorang peguam muda apabila saya mengambil petisyen pilihan raya. Dia selalu ikut saya ke sana ke mari, bawa beg dan fail saya.

TMI: Berbalik kepada ketika anda dalam Umno, tidakkah anda fikir orang akan melihat anda sebagai berat sebelah dalam kes yang melibatkan Umno?

APANDI: Saya mangsa persepsi yang salah. Itu apa yang ingin saya katakan. Saya menjadi mangsa persepsi yang salah kerana tempoh pendek saya dalam Umno, di mana saya tidak memegang apa-apa jawatan tinggi, digunakan untuk menyatakan saya seorang ahli Umno dan sebagainya. Tetapi dari sisi lain, saya lebih aktif dalam Majlis Peguam dan saya beritahu anda, ada ketikanya kerajaan tidak bertindak betul, dan saya beritahu mereka mengenainya.

Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET) adalah penjenamaan semula yang saya lakukan atas pasukan petugas lama yang dibentuk pada 2011, kata Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 11 November, 2015.Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET) adalah penjenamaan semula yang saya lakukan atas pasukan petugas lama yang dibentuk pada 2011, kata Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 11 November, 2015.


Saya tidak ingat tarikh sebenarnya, tetapi ia mesti sekitar 1998 atau 1999. Enam orang India ditembak di Pengkalan Chepa. Mereka dari Kerala. Dan salah seorang daripada mereka bekerja sebagai atendan hospital. Mereka ditembak. Semua dibunuh. Ditembak di kepala, ditembak di mata, di leher. Dan anda tahu, saya dapati tidak ada seorang pun daripada mereka merupakan penjenayah. Mereka (polis) bertindak atas maklumat salah. Ia adalah 'assassination', ia pembunuhan. Jadi saya membuat kecoh, kerana kes itu di negeri saya. Saya menulis memorandum dan pergi berjumpa dengan Tun Dr Mahathir yang ketika itu perdana menteri dan menteri dalam negeri. Memberinya memorandum. Semuanya saya sendiri, anda tahu? Ketika itu saya pengerusi Peguam Kelantan.
Dan kerana itu, mereka mengarahkan siasatan dijalankan. Saya menghadiri siasatan itu. Siasatan itu diadakan di Tumpat. Pejabat saya di Kota Baru. Saya pergi-balik, pergi-balik, (secara) pro bono. Saya tidak mengambil apa-apa (upah guaman). Setelah semuanya berakhir, dapatannya ialah, mereka ini dibunuh dengan cara yang salah.

Saya juga memberi taklimat kepada Majlis Peguam. Kami adakan EGM yang besar di mana saya menjelaskan segala-galanya, apa yang berlaku, bagaimana pihak polis bertindak dengan cara yang 'high-handed' (perbuatan menindas yang begitu angkuh). Dan saya katakan, mereka dibunuh (executed), kerana mustahil untuk menembak dalam gelap, betul-betul di kepala, dan mata dan telinga, semua 6 daripada mereka. Dan mereka membuang revolver berkarat dekat dengan mayat itu dan berkata, mereka melepaskan tembakan. Tidak ada langsung sebarang tanda ditembak pada kenderaan polis. Sebab itu saya begitu marah dengan pihak polis. Rekod semua ada di sana. Jadi, untuk mengatakan saya pro kerajaan tidak benar. Saya pro undang-undang.

Dan Karpal (Singh), mendiang Karpal, asyik berkata kepada saya, 'Umno, Umno'. Saya mengingatkan beliau kejadian ini. Saya katakan kepadanya, Encik Karpal, anda pasti akan ingat. Selepas saya menghabiskan masa dan tenaga saya membawanya kepada perhatian kerajaan, anda secara senyap-senyap pergi dan berjumpa keluarga itu, menyaman kerajaan, dan membuat duit. Kerajaan menyelesaikannya tanpa pergi ke mahkamah kerana mereka tahu mereka bersalah.

TMI: Apakah yang disiasat Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET) ketika ini? Apabila anda mengumumkannya, anda berkata, ia tidak menyiasat 1MDB. Jadi, apa sebenarnya yang mereka siasat?

APANDI: NRRET adalah penjenamaan semula yang saya lakukan atas pasukan petugas lama yang dibentuk pendahulu saya pada 2011. Oleh kerana ada begitu banyak pasukan petugas, semua orang keliru. Lupakan pasukan petugas. Buat penjenamaan baru. Pemulihan hasil adalah untuk mendapatkan kembali apa sahaja hasil kerajaan yang hilang akibat gagal mengisytiharkan cukai pendapatan yang betul, gagal mengisytiharkan duti eksais di bawah Kastam, dan gagal mengisytiharkan transaksi wang ke luar negara.

Wang yang masuk adalah di bawah pengubahan wang haram. Jadi, ini perkara utama yang kami sedang siasat dan jejaki. Ia melibatkan banyak agensi. Polis, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Kastam, Bank Negara... semua agensi yang terlibat. Kami juga lihat kepada kes pengubahan wang haram. Tahukah anda banyak wang dibawa keluar dari negara ini? Dibawa keluar secara haram. Kita ada contohnya dua juta pekerja Indonesia di sini.

Sudah tentu mereka menghantar wang (pulang) hampir setiap bulan atau setiap minggu. Bagaimana mereka hantar? Ada yang mengikut undang-undang, ada yang mempunyai ejen. Ini adalah komisen yang patut pergi kepada kerajaan. Tetapi tidak, kerana mereka lakukannya di bawah tanah. Mereka ada ejen di sebuah bank di Indonesia, dan mereka juga ada satu lagi ejen di sini. Semua tidak berdaftar. Bagaimana mereka melakukannya? Dan ia sudah dilakukan. Kami gunakan ejen provokasi (ejen yang menyamar), kami berjaya mengesan semua mereka. Kami juga menghantar ejen provokasi ke Indonesia. Dan sudah tentu, ini tidak ada kena mengena dengan 1MDB.

TMI: Sesetengah orang mungkin berhujah mengatakan, ia hanya mencari 'ikan bilis.'

APANDI: Tidak, kami juga cari mereka yang besar-besar. Kerana ini tidak diketengahkan atau dilakukan secara terbuka. Kadang-kadang, apabila kami berdepan dengan mereka, kerana tidak membayar cukai contohnya, mereka beritahu kami, 'Okay, jangan bawa saya ke mahkamah, tidak baik untuk imej kami dan sebagainya. Kami sedia bayar apa yang perlu dibayar'. Dan mereka membayar secara senyap-senyap. Ia boleh diterima.




No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...