Friday, 27 November 2015

Petunjuk Muhyiddin Bakal Memberontak?

Petunjuk Muhyiddin Bakal Memberontak. Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyidin Yassin mempersoalkan tindakan Majlis Tertinggi (MT) Umno yang menghalang buat pertama kalinya seorang timbalan presiden daripada berucap merasmikan mesyuarat sayap Umno.

"Apalah dosa saya lakukan terhadap Umno sehingga tradisi berucap yang saban tahun diberikan kepada timbalan presiden dinafikan kepada saya pada tahun ini?

"Atau apakah ada mereka yang cukup takut dengan apa yang akan saya ungkapkan di hadapan anak muda yang dipercayai boleh meluputkan keyakinan kepada seseorang pemimpin," katanya yang juga ahli Parlimen Pagoh.

Meskipun dihalang, Muhyiddin berkata beliau tetap akan terus bersuara dan tidak akan mengalah dalam menyatakan pendiriannya.

Melalui posting di laman Facebook miliknya, Muhyiddin berkata, beliau menghormati keputusan MT Umno itu, namun turut mengingatkan mereka tiada sesiapa yang boleh mendiamkan dirinya.

"Saya akan terus berbicara menyatakan yang hak. Perjuangan saya di dalam Umno bukanlah untuk mempertahankan individu,tetapi, untuk membela agama, bangsa, dan negara yang tercinta," katanya.

Beliau berkata, sejak 6 tahun lalu, sebagai timbalan presiden Umno, beliau menyampaikan amanat kepada perwakilan sayap Umno yang datang daripada seluruh negara dengan penuh tanggungjawab.

"Ia adalah ucapan terpenting saya di hadapan para pejuang parti yang melakarkan harapan serta cita-cita saya agar Umno terus gagah meredah cabaran zaman.

"Nampaknya saya tidak lagi berpeluang untuk menyampaikan amanat saya dalam majlis yang amat bermakna buat saya sebagai timbalan presiden," katanya.

Muhyiddin mendakwa, beliau dimaklumkan ada pihak tertentu yang mahu menghalangnya daripada berucap.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini dilaporkan berkata, keputusan untuk tidak membenarkan Muhyiddin merasmikan mesyuarat sayap Wanita, Pemuda, dan Puteri parti Melayu itu atas permintaan pengerusi sayap.

Petunjuk Muhyiddin Bakal Memberontak

Zahid berkata, keputusan itu dibuat ahli MT Umno demi menghormati permintaan pengerusi sayap parti Melayu itu.

"Itu permintaan pengerusi sayap. MT hormati permintaan pengerusi sayap," kata Zahid kepada pemberita, selepas berucap merasmikan Majlis pemangkaian pangkat bersekutu, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) kepada pemimpin muda di bawah Kesatria Muda Keselamatan (KMK), di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur hari ini.

Perkara itu turut disahkan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang turut hadir ketika sidang media berkenaan.

"Saya sahkan apa yang dikatakan Zahid. Itu permintaan saya,Wanita dan Puteri. Perasmian tidak tertulis dalam Perlembagaan dan ia hanya konvensyen," katanya, yang juga merupakan menteri belia dan sukan.

"Tidak ada niat untuk senyapkan sesiapa, saya rasa lebih sesuai ia dibuat diperingkat sayap sendiri," kata Khairy.

Semalam, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak mengumumkan MT memutuskan mesyuarat sayap Wanita, Pemuda dan Puteri pada Perhimpunan Agung Umno bulan Disember depan akan dirasmikan ketua sayap dan bukannya Muhyiddin.

Najib yang juga perdana menteri itu berkata, keputusan itu dicapai bagi mengekalkan "suasana baik dan positif" perhimpunan.

"Perhimpunan agung kali ini kita hendak suasananya baik dan suasananya positif.

"Antara keputusan yang kita buat sayap Wanita, Pemuda dan Puteri akan dirasmikan ketua sayap," katanya.

Keputusan yang dicapai pada mesyuarat di bangunan sementara Parlimen petang semalam dibuat tanpa kehadiran Muhyiddin yang juga timbalan presiden dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mengikut konvensyen Umno, mesyuarat sayap parti akan dirasmikan timbalan presiden.

Muhyiddin dan Shafie sebelum ini digugurkan dalam rombakan Kabinet pada hujung Julai lalu dan ia berlaku selepas kedua-dua mereka rancak menyatakan perbezaan pendapat dengan Najib dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).



No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...