Friday, 20 November 2015

Permintaan Terakhir Keluarga Bernard Then

Keluarga tebusan dari Sarawak, Bernard Then Ted Fen, yang dilaporkan dipenggal kepalanya di Jolo, selatan Filipina, merayu bantuan daripada kerajaan Malaysia dan Filipina.

Mereka berharap kedua-dua kerajaan itu mempercepatkan operasi mencari dan membawa pulang jasadnya ke tanah air.

"Kami, keluarga Bernard Then Ted Fen dimaklumkan tentang kematian beliau di Jolo, selatan Filipina pada Selasa (17 Nov).

"Kami ucapkan terima kasih kepada sanak saudara, sahabat handai dan kalangan yang mengambil berat atas semua doa, ingatan serta sokongan mereka ketika kami mengharungi beberapa bulan yang amat sukar sehingga membawa kepada berita tragik ini.

"Kami menghargai semua bantuan anda untuk kami terus tabah.

"Sejak 188 hari lepas, kami meneruskan hidup dengan harapan, namun berakhir dengan kehampaan. Dengan berita yang menakutkan ini, kami terus berdoa agar rohnya sentiasa aman. Moga beliau bersemadi dengan tenang," kata mereka menerusi kenyataan di sini pada Rabu.

Keluarga itu turut meminta agar mereka diberi ruang tanpa gangguan untuk meratapi pemergian Then.

Kumpulan pengganas Abu Sayyaf dilaporkan memenggal kepala Bernard Then, tebusan rakyat Malaysia terakhir yang diculik dari Ocean King Seafood Restaurant di Sandakan pada Mei tahun ini selepas membebaskan pengurus restoran itu, Thien Nyuk Fung kira-kira seminggu lepas.




No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...