Wednesday, 25 November 2015

Perhimpunan Agung Umno Medan Umno Berpecah Dua.. Ini Buktinya?

Perhimpunan Agung Umno bulan depan akan menjadi medan pertembungan antara dua kem dalam parti Melayu itu, dengan satu kumpulan setia kepada Datuk Seri Najib Razak dan satu lagi bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menyokong kritikannya terhadap dakwaan penglibatan perdana menteri dalam kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib masih dalam “mode” bertahan, sementara Muhyiddin masih memberi desakan, berterusan membangkitkan skandal 1MDB dan derma RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadi presiden Umno itu.

Najib yang juga menteri kewangan merupakan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

"Perhimpunan kali ini akan menjadi pertembungan hangat antara kem Najib dan kem Muhyiddin,” kata bekas ketua Pemuda cawangan Keliang, Hulu Selangor, Moohamad Faizal Abdul Raub kepada The Malaysian Insider.

"Ia akan menjadi platform kedua-dua kem untuk mempertahankan bos mereka." 

Tiada usul agar Najib meletakkan jawatan akan dibangkitkan pada Perhimpunan Agung Umno kali ini yang akan berlangsung pada 8 hingga 12 Disember di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). 

Walaupun Najib dilihat mempunyai sokongan majoriti ketua Umno bahagian, ahli akar umbi peringkat cawangan masih memberontak.

Naib Ketua Umno Bahagian Kota Raja Mohd Hamidi Abu Bakar berkata, perwakilan dan ahli menanti penjelasan daripada pemimpin mengenai kecelaruan dan kemelut yang berlaku.

"Perhimpunan kali ini ramai yang tertunggu dan tidak sabar mendengar ucapan daripada pemimpin, ramai pemerhati dijangka hadir kali ini.

"Semua ini disebabkan keadaan dan pergolakan dalaman yang berlaku dalam parti," kata Hamidi kepada The Malaysian Insider.

Gesaan beberapa cawangan kebelakangan ini menunjukkan bahagian-bahagian Umno sukar untuk mengawal ahli yang tidak berpuas hati terhadap Najib.

Ahli akar umbi kritikal terhadap kepimpinan Najib, menganggapnya sebagai liabiliti dan tidak melihat masa depan cerah jika beliau terus memimpin Umno.

"Rakyat mahukan peralihan, apabila merasakan tidak lagi relevan, ia sepatutnya digantikan," kata Ketua Umno Cawangan Rista Villa Perdana Rushdan Mohamed, salah seorang yang mendesak Najib letak jawatan baru baru ini.

Beliau berkata, pepecahan dalam Umno sudah tidak dapat dielakkan lagi, jika berterusan kesan lebih buruk dihadapi Najib seperti sabotaj daripada ahli sendiri yang tidak berpuas.

"Pepecahan parti tidak dapat dielakkan dan sabotaj parti memang tidak boleh dielakkan," katanya.

Senada dengan Rushdan, aktivis Umno Pokok Sena Ramli Yunus mengakui parti Melayu itu sudah berpecah, dan lebih parah lagi, ahli sendiri sudah tidak dapat mempertahankan Najib apabila bertemu rakyat.

"Pecah memang sudah berpecah, memang tidak boleh buat apa lagi.

"Dahulu kami yang di bawah ini yang mempertahankan Najib, tetapi sekarang yang di bawah ini pula lantang menentang beliau," katanya.

Sesetengah pemimpin mengatakan perpecahan dalam Umno ini disumbang Muhyiddin kerana berterusan mengkritik Najib dan mempersoalkan isu RM2.6 bilion.

Tindakan Muhyiddin menimbulkan rasa curiga dan prasangka buruk terhadap Najib walaupun berkali-kali penjelasan dibuat pemimpin Umno lain.

"Harapan Muhyiddin Perhimpunan Agung Umno kali ini berjalan dalam keadaan huru-hara," Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos dipetik sebagai berkata.





No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...