Sunday, 22 November 2015

Perasaan Serba Salah Menyelubungi Apabila Baca Kisah Pemimpin Kanan PAS Ini

Tidak pernah terlintas di dalam fikiran meskipun sibuk dengan tugasan sebagai ahli politik, rupa-rupanya tertanam hasrat jauh di lubuk hati Datuk Takiyuddin Hassan untuk menunggang motosikal berkuasa tinggi sehingga ke kota suci umat Islam, di Mekah.

Bermula dengan motosikal berjenama Yamaha Virago 500cc, ahli Parlimen Kota Baru itu kini memiliki motosikal berjenama Honda Goldwing 1,800cc dan sering menyertai jelajah atau konvoi beramai-ramai sekiranya berkelapangan.

Takiyuddin yang mula menyertai PAS sejak tahun 1989, mengakui minatnya terhadap motosikal berkuasa tinggi dipupuk sahabat handai dan kenalan terdekat, dan setiausaha agung PAS itu turut percaya, dengan minat yang mendalam terhadap hobi menunggang beliau, akan dapat mengetepikan perbezaan politik.

Hakikatnya ternyata benar, apabila beliau turut berkongsi hobi dan minat yang sama dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, malah pernah berkonvoi bersama-sama pemimpin Barisan Nasional (BN) itu.

Suami kepada Datin Hariza Yusoff, dan bapa kepada 5 cahaya mata itu juga berpegang kepada falsafah lama, mereka yang mampu menungang kuda akan mampu memimpin manusia.

“Minat saya ini mula-mula cuba-cuba motosikal kawan-kawan, kemudian saya bermula dengan motosikal biasa-biasa, ‘cc’ rendah, Yamaha Virago 500 cc, sekarang saya mempunyai motosikal dengan ‘cc’ yang paling besar, Honda Goldwing 1,800 cc,” kata Takiyuddin, dalam wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insider, di Parlimen baru-baru ini.

“Motosikal ini pun kita ibaratkan sebagai kuda sekarang, lagipun kuasanya pun kita ukur menggunakan kuasa kuda,” kata Takiyuddin, berjenaka.

Kemalangan maut pelakon Indonesia

Datuk Takiyuddin Hassan (kanan) bersama Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abdul Kadir di konvoi promosi Tahun Melawat Kelantan 2012 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh.


Datuk Takiyuddin Hassan (kanan) bersama Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abdul Kadir di konvoi promosi Tahun Melawat Kelantan 2012 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. 

Takiyuddin turut mendedahkan, beliau turut bersama-sama pelakon Indonesia, Sophan Sophiaan dalam satu konvoi di Indonesia pada 2008 di mana pelakon itu memimpin konvoi dan terjatuh dari motosikal yang ditunggangi akibat melanggar lubang sehingga mengakibatkan kematiannya.

Insiden itu berlaku pada 17 Mei 2008, bersempena jelajah "Jalur Merah Putih 2008” dan mereka ketika itu sedang melalui wilayah Ngawi, di Jawa Timur menuju ke Kota Yogyakarta dalam rangka menyambut 100 tahun Kebangkitan Nasional.

"Saya suka hobi ini kerana bila kita menunggang motosikal kita tidak fikir perkara lain, kita fokus kepada tunggangan kita dan tidak kisah langsung berkenaan politik.

"Walaupun saya dengan Zahid berbeza ideologi, tetapi beliau menerima baik kehadiran saya,” katanya, merujuk kepada pertubuhan motosikal yang dinaungi naib presiden Umno itu, Superbikers Association of Malaysia (SAM).

Malah, Takiyuddin turut menggunakan khidmat rakan-rakannya dalam dunia permotoran berkuasa tinggi untuk mempromosikan pelancongan, ketika beliau merupakan ahli Majlis Mensyuarat Kerajaan Kerajaan Negeri (Exco) Pelancongan di Kelantan, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bunut Payong, di Kelantan.

Dari Kedah ke Klang ke Kelantan

Selepas menamatkan persekolahan di peringkat rendah, Takiyuddin yang merupakan anak kelahiran Sik, Kedah ini mengikuti pengajian peringkat menengah di Kolej Islam Kelang, yang sekarang dikenali sebagai Kolej Sultan Salahuddin Shah (KISAS) dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya pada tahun 1982 sehingga ke peringkat ijazah Sarjana Muda Undang-Undang.

Beliau juga pernah menjadi pemimpin mahasiswa di universiti itu, mengisi jawatan yang pernah disandang Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dan sebelum itu disandang Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

“Sekarang kami semua berada di Parlimen,” kata Takiyuddin.

Sebaik memperolehi ijazah dalam bidang perundangan, beliau mula bertugas sebagai majistret di Pasir Mas, Kelantan dan membuka membuka firma guamannya sendiri di Kota Baru.

Selain meminati motosikal berkuasa tinggi, Takiyuddin turut meminati sukan bola sepak dan membaca.

Beliau turut dilantik sebagai Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), selain mengetuai Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM) sejak 2009 sehingga sekarang dan banyak melakukan aktiviti, terutamanya penganjuran Piala Emas Raja-Raja.

Beliau mula berkecimpung dengan pengurusan bola sepak sejak 1995 apabila menjadi Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) pada waktu itu sehingga 1997.

Selain itu, beliau juga turut mengakui mempunyai minat yang mendalam membaca buku dan meminati karya jenis biografi serta mampu menghabiskan masanya selama 3 jam membaca di dalam tandas.

“Jika ada masa terluang, saya akan membaca di mana sahaja, termasuk di dalam tandas. Saya pernah habiskan 2 buah buku selama 3 jam di dalam tandas di rumah,” katanya.



No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...