Wednesday, 18 November 2015

Najib Akan Letak Jawatan? Lagi Desakan Dari Dalam Umno

Najib Akan Letak Jawatan? Lagi Desakan Dari Dalam Umno. Selepas sekumpulan ketua Umno cawangan Negeri Sembilan mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan, kini giliran 10 cawangan Umno di Selangor pula mengambil langkah sama.

Sepuluh ketua Umno cawangan dan 14 pemimpin sayap cawangan dalam Bahagian Sepang semalam menyatakan hilang kepercayaan terhadap perdana menteri yang juga presiden Umno dan mendesak supaya beliau meletak jawatan.

The Malaysian Insider melihat senarai ketua cawangan dan sayap cawangan dalam bahagian Umno itu yang menandatangani kenyataan bersama mendesak peletakan jawatan Najib.

Jurucakap kumpulan tersebut, Rushdan Mohamed berkata masa diberikan kepada Najib sudah cukup bagi menyelesaikan isu mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan skandal derma RM2.6 bilion, namun beliau sehingga hari ini gagal menjawab.

"Saya harap presiden letak jawatan sebagai perdana menteri dan juga presiden Umno jika sayangkan parti keramat ini.

"Sudah sampai masa kerana sudah cukup lama masa diberikan untuk (Najib) selesaikan masalah yang timbul," katanya yang juga ketua cawangan Rista Villa Perdana Putra pada sidang media di Kajang semalam.

Mengenai isu 1MDB, Rushdan berkata tempoh 6 bulan sudah berlalu, namun hingga hari ini Najib masih gagal menjawab dan menjelaskan berkaitan masalah urus tadbir yang timbul dalam syarikat dana pelaburan itu.

"Sehingga hari ini tidak ada satu pun diselesaikan. Ia sepatutnya diselesaikan serta-merta," katanya.

Dalam isu wang RM2.6 bilion pula, Rushdan mempersoalkan kredibiliti Najib yang pada mulanya tidak mengaku mengenai kewujudan wang tersebut namun akhirnya kebenaran terdedah selepas pengesahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Semasa peringkat awal isu RM2.6 biliom, kredibiliti Najib dipersoalkan, nak jelas macam mana sekalipun.

"Ada menteri kata, bodoh kalau Najib nak masukkan dalam akaun peribadi. Tetapi akhirnya, diakui memang ia masuk ke akaun peribadi beliau," katanya.

Najib Akan Letak Jawatan? Lagi Desakan Dari Dalam Umno

Turut hadir pada sidang media sama, 3 lagi ketua Umno cawangan, Hashim Para (Boundary Permai), Muslim Hassan (Pulau Meranti) dan Zulkifli Khairuddin (Admiral Putra Perdana) bersama pemimpin sayap cawangan lain.

Rushdan berkata, Umno bukan parti milik seorang individu dan bimbang jika isu yang menyelubungi parti tersebut tidak diselesaikan, tidak mustahil mereka akan kalah dalam pilihan raya umum akan datang.

"Kami tidak mahu parti Umno dijadikan milik seseorang, Umno bukan milik peribadi Najib.

"Kami harap perkara yang timbul diselesaikan sebelum Umno ditolak dalam pilihan raya akan datang," katanya.

Mengenai kemungkinan berdepan tindakan disiplin akibat tindakannya, Rushdan berkata beliau sedia menghadapi sebarang kemungkinan sama ada dipecat atau digantung kerana masa depan parti lebih penting.

Najib ketika ini berdepan dengan krisis kepimpinan susulan kemelut membabitkan syarikat dana pelaburan yang dinaunginya, 1MDB, dan skandal wang derma dalam akaun peribadinya berjumlah RM2.6 bilion.

Malah Najib yang berdepan tekanan terpaksa merombak Kabinet Julai lalu, menyaksikan pengkritiknya disingkirkan.

Kesan daripada rombakan itu, Najib menerima tekanan daripada puak Umno yang tertentu kerana cara beliau mengendalikan kontroversi 1MDB dan tindakan beliau memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri.

Najib Akan Letak Jawatan? Lagi Desakan Dari Dalam Umno

Mengenai siapa yang layak menggantikan Najib, Rushdan berkata, terdapat 2 cara, iaitu dengan melakukan pemilihan semula atau melantik mengikut tradisi hierarki parti.

"Jika presiden merasakan beliau mempunyai sokongan, beliau boleh mengadakan pemilihan parti.

"Dan jika mengikut hierarki parti pula, selalunya timbalan presiden yang akan naik menjadi perdana menteri," katanya.

Oktober lalu, kira-kira 13 ketua Umno cawangan dari Telok Kemang, Negeri Sembilan mengumumkan secara terbuka hilang kepercayaan ke atas pimpinan Najib dan mendesaknya supaya meletak jawatan.



No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...