Wednesday, 25 November 2015

Kisah Terbaru Pengerusi NFCorp

Pengarah Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail dibebaskan daripada 2 tuduhan pecah amanah (CBT) melibatkan RM49.7 juta hari ini.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Norsharidah Awang memberikan pelepasan itu selepas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir berjumpa dalam kamarnya. Hakim tidak memberikan sebab keputusan itu diberikan.

Sebelum ini, Syed Faisal memberitahu mahkamah, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali membenarkan pembebasan Salleh tetapi tidak menggugurkan pendakwaan selepas surat perwakilan dihantar ke Jabatan Peguam Negara September lepas.

Shafee berhujah yang anak guamnya wajar dibebaskan kerana kewujudan keistimewaan kes itu dan pembebasan perlu diberikan memandangkan perbicaraan sudah bermula.

Hakim itu kemudian menemui Shafee dan Syed Faisal dalam kamarnya.

Salleh, 66, yang juga merupakan pengarah NFCorp, didakwa tahun lepas atas dakwaan salah guna RM9,758,140 dalam 4 keping cek daripada dana NFCorp untuk membayar sebahagian daripada pembelian 2 unit kondominium di kompleks One Menerung Kuala Lumpur.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu antara 1 dan 4 Disember 2009, di CIMB Islamic Bank Bhd di Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr Ismail.

Beliau juga didakwa melakukan kesalahan sama dengan memindahkan RM40 juta melalui sekeping cek antara 6 Mei sehingga 16 November 2009, ke dalam akaun National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd yang mana beliau dan anak-anaknya merupakan pemilik.

Kedua pertuduhan itu, di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, serta denda, sekiranya didapati bersalah.

Saleh juga didakwa dengan 2 tuduhan lain berkaitan penggunaan dana syarikat tanpa menerima kelulusan daripada mesyuarat tahunan syarikat untuk membuat separuh pembayaran dalam pembelian 2 unit kondominium.

Beliau dituduh di bawah Seksyen 132(2)(a) Akta Syarikat 1965, yang boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga 5 tahun atau denda sehingga RM30,000.

Saleh sudah melalui proses perbicaraan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan untuk membatalkan pertuduhan itu tetapi gagal.

Pada September lepas, Shafee menulis surat perwakilan kepada Jabatan Peguam Negara supaya menarik balik pendakwaan ke atasnya.




No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...