Friday, 6 November 2015

Kejutan Dari PAS

Tiada sebarang perbincangan antara PAS dan Umno mengenai penubuhan kerajaan perpaduan seperti yang didedahkan bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa di ceramahnya semalam, kata Datuk Iskandar Abdul Samad.

Pesuruhjaya PAS Selangor itu berkata, tidak ada keperluan menubuhkan kerajaan perpaduan dengan Umno kerana situasi sedia ada parti Islam itu masih dalam keadaan terkawal.

"Apa perlu kita tubuh kerajaan perpaduan dengan Umno? Umno pun orang dah tak mahu," katanya kepada pemberita di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Shah Alam, hari ini.

Beliau sebaliknya berkata, dakwaan Husam presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengaku pernah merancang kerjasama dengan Umno bagi menubuhkan kerajaan perpaduan di Selangor kemungkinan diputarbelitkan media.

"Umno sekarang berada dalam keadaan tertekan, buat apa kita tubuhkan perpaduan dengan kerajaan dan parti yang tidak diterima lagi oleh orang," katanya.

Semalam, Husam mendedahkan dalam ceramah beliau di Kota Baru, Kelantan, Hadi mengaku pernah merancang kerjasama tersebut dengan Umno pada tahun lepas ketika krisis pertukaran menteri besar di Selangor.

Katanya, "konspirasi" antara 2 parti Melayu itu menjadi punca perpecahan dalam PAS sebelum ini sehingga melahirkan kumpulan serpihan yang membentuk parti baharu Parti Amanah Negara (Amanah).

Iskandar yang juga naib presiden PAS berkata, beliau tidak tahu-menahu sekiranya benar terdapat konspirasi untuk mewujudkan kerajaan perpaduan antara parti itu dengan Umno/Barisan Nasional (BN) dan tidak akan bersetuju jika ia berlaku.

Sementara itu, timbalan presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali pula lebih selesa bersikap "kunci mulut" dengan mengelak daripada mengulas berkenaan perkara itu.

"Saya tak campurlah. Itu politik parti lain. Tidak ada sebarang perbincangan ke arah itu," katanya ringkas.




1 comment:

  1. Alhamdulillah.. azmin ali pun dah nafikan berlaku perbincangan ke atas itu.. jadi nyatalah husam saja nak buat gempar.. x pe lah .. geng PAN x berjaya gugat PAS dari liar kini cuba pula dr dalam.. in sya Allah x kan berjaya juga..

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...