Monday, 23 November 2015

JAKIM Perlu Peruntukan Lebih Besar Lagi

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memerlukan dana lebih RM1 bilion setiap tahun untuk memenuhi keperluan umat Islam dan memerangi mereka yang menafikan Islam sebagai agama persekutuan, kata Datuk Asyraf Wajdi Dusuki. 

Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal Islam itu berkata, pegawai agama dan guru memerlukan gaji lebih tinggi kerana tugas melindungi kesucian Islam menjadi lebih mencabar dengan penyebaran ideologi "radikal" dan "pelampau". 

Beliau memberi contoh Kumpulan Militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis), liberalisme, pluralisme dan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebagai sebahagian daripada ideologi radikal. 

"Selain menguruskan elaun guru-guru KAFA (Kelas Asas Fardu Ain) yang melebihi 30,000 orang dan hampir 15,000 imam di seluruh negara, jumlah peruntukan Jakim dilihat relevan malah sebenarnya tidak mencukupi dalam memenuhi keperluan majoriti masyarakat Malaysia yang beragama Islam.

"Justeru, kita berterima kasih kepada mereka yang membangkitkan isu ini yang mana dapat membuka mata kerajaan untuk menambahkan lagi peruntukan Jakim pada tahun hadapan bagi menampung keperluan yang semakin kritikal khususnya dalam menangani golongan yang cuba menafikan Islam sebagai agama persekutuan negara ini.

"Sudah tentulah peruntukan hampir RM1 bilion tidak mencukupi bahkan perlu ditambah melebihi nilai tersebut," tulis Asyraf dalam posting Facebook beliau.

Beliau berkata demikian, mengulas laporan portal berita The Malaysian Insider hari ini yang melaporkan sejak beberapa minggu kebelakangan ini, timbul pelbagai persoalan mengenai apakah Jakim) masih relevan dan bagaimana mereka membelanjakan hampir RM1 bilion wang pembayar cukai setiap tahun.

Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri itu menjadi tajuk perdebatan selepas anak kepada bekas timbalan perdana menteri, Tawfik Ismail mengatakan ianya perlu dimansuhkan kerana lebih banyak campur tangan kepada kehidupan peribadi umat Islam di Malaysia.

Beliau turut melampirkan bersama "screenshot" artikel The Malaysian Insider "How Jakim spent nearly RM1 billion this year" (Bagaimana Jakim belanja hampir RM1 bilion tahun ini). 

Asyraf turut menuduh "pihak tertentu" cuba memperkecilkan dan memusnahkan kredibiliti institusi agama, dan mendakwa Jakim menjadi "sasaran" The Malaysian Insider.

Menelusuri kewujudan Jakim di Malaysia, beliau berkata, ia bermula daripada unit kecil di bawah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada tahun 1968 yang dipersetujui Majlis Raja-raja Melayu.

Beliau berkata, ia kemudiannya dinaikkan taraf kepada sebuah Bahagian Agama di Jabatan Perdana Menteri, Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) sebelum ditukar nama kepada Jakim berkuat kuasa 1 Januari 1997.

"Maknanya kewujudan Jakim adalah diperkenankan oleh Majlis Raja-raja Melayu dan menjadi sekretariat penyelaras hal ehwal agama Islam kepada MKI," tulis Asyraf.

Belia berkata, peranan terbesar Jakim ialah menzahirkan kewajipan dan tanggungjawab pemerintah terutamanya kuasa eksekutif untuk melaksanakan sumpah Yang Dipertuan Agong untuk memelihara agama Islam sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan.

Katanya, dalam Perlembagaan jelas menunjukkan bidang kuasa Jakim untuk terlibat dalam perkara-perkara yang melibatkan perundangan, pentadbiran dan pendidikan Islam‎.




No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...