Saturday, 21 November 2015

Barack Obama Terkedu Dengan Soalan Anak Muda Malaysia?

Pemimpin muda negara teruja dengan peluang untuk mengajukan soalan berkaitan kepada Presiden Amerika Syarikat Barack Obama pada satu sesi 'town hall' petang ini, termasuk meminta pandangan beliau apa yang akan dilakukannya jika terpalit dengan skandal kewangan besar-besaran seperti 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ramai juga ingin bertanya motif Obama mendesak Malaysia menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP), khususnya hendak mengetahui mengapa rundingan itu dibuat dalam keadaan penuh kerahsiaan.

Jayanthi Palani, 23, berkata beliau berharap untuk bertanya soalan mengenai 1MDB dan mendengar pandangan Barack Obama mengenai rombakan Kabinet Datuk Seri Najib Razak yang menyaksikan beliau memecat timbalannya.

Beliau bagaimanapun menjangkakan, sekiranya berpeluang mengemukakan soalan itu, beliau yakin Obama akan memberikan jawapan 'politically correct' (betul daripada segi politik).

"Saya cuma bimbang beliau akan kata beliau tak boleh cakap mengenai perkara itu kerana ia sedang dalam siasatan.

"Itu yang beliau katakan apabila ditanya mengenai pendakwaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi town hall terakhir sebelum ini.

"Tetapi saya ingin mendengar pandangannya tentang Malaysia berada di tengah-tengah skandal kewangan 1MDB dan derma politik RM2.6 bilion dalam akaun perdana menteri," kata Jayanthi.

Katanya, rakannya turut mendesaknya bertanya soalan berkaitan begitu, yang menjadi kebimbangan rakyat Malaysia.

Peguam Melissa Sasidaran ingin bertanya mengenai wang RM2.6 bilion itu kepada Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, petang ini.


Peguam Melissa Sasidaran, yang baru pulang dari bertugas selama 6 minggu di Washington DC sebagai felow profesional di bawah Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) juga ingin bertanya mengenai wang RM2.6 bilion itu.

"Saya ingin bertanya kepada beliau apa yang beliau akan lakukan jika berada di dalam tempat Najib dan terlibat dalam skandal 1MDB," katanya kepada The Malaysian Insider ketika ditemui pada satu sesi YSEALI malam tadi.

500 peserta di bawah YSEALI dari 10 negara Asean berkumpul di Kuala Lumpur untuk sidang kemuncak tiga hari itu, dengan kemuncak acaranya ialah pertemuan dengan Barack Obama petang ini.

Sidang kemuncak yang berakhir pada Ahad itu, membincangkan cabaran dihadapi di Asia Tenggara dan bagaimana anak muda boleh melakukan usaha merentasi sempadan untuk mencari penyelesaiannya.

Sementara itu, pelajar kejuruteraan Bernard Goh, 19, berhasrat menanyakan soalan ini kepada Obama: "Jika seseorang mahu menderma kepada Najib, apa proses yang sepatutnya diambil?"

Katanya, walaupun menjadi amalan biasa di AS di mana syarikat memberi sumbangan kepada calon politik, kegiatan itu menjejaskan demokrasi.

“Di Malaysia, mereka kata GLC (syarikat berkaitan kerajaan) boleh menderma kepada ahli politik tetapi apabila seseorang memberi sumbangan wang dalam jumlah yang besar, akan ada kemungkinan perubahan dari sudut dasar untuk berpihak kepada syarikat berkenaan.

“Kita mahu memastikan satu keadaan di mana ahli politik berkhidmat kepada rakyat dan bukan pada syarikat,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Goh juga mahu bertanya kepada presiden itu mengenai etika dalam merangka TPP dalam keadaan rahsia dan bahagian mana dalam rundingan itu ditandatangani secara "bawah meja" yang masyarakat umum tidak tahu.

“Soalan saya ialah mengapa ia tidak didrafkan secara umum dan apa yang pihak berkuasa Amerika dan Malaysia persetujui secara 'bawah meja'?

“Dan apa akibat jangka panjangnya? Kita tahu penjagaan kesihatan mungkin tertakluk kepada eksploitasi, dan setakat ini, tidak ada jaminan perkara itu tidak akan berlaku,” katanya.

Pensyarah Lyana Khairuddin, 32, juga mahu tahu mengapa urus niaga TPP kurang telus sepanjang 5 tahun proses rundingannya, dan mengapa jumlah pihak berkepentingan yang dibawa berbincang dihadkan, terutama berkaitan ubat dan perlindungan paten.

“Kita asyik dengar harga ubat akan naik, bukan sekelip mata tetapi dalam 5 hingga 10 tahun, kerana ubat baharu akan memasuki pasaran dan paten mereka dilindungi bagi tempoh lebih lama.

Barack Obama bercakap mengenai demokrasi dan membabitkan rakyat, tetapi ia tidak berlaku dalam urus niaga perdagangan ini, ia tidak kelihatan seperti rundingan demokrasi langsung,” katanya mengenai TPP.

Pengkritik urus niaga 12 negara itu mendakwa ia akan menyebabkan pertumbuhan ekonomi yang negatif dan ada implikasi terhadap kedaulatan negara.

Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Nursyahirah Khanum, 20, mahu bertanya kepada Obama apa yang sedang presiden itu lakukan untuk mengurangkan Islamofobia di kalangan rakyat Amerika.

Katanya, meskipun beliau tahu masyarakat Malaysia mungkin mahu pemimpin muda bertanya lebih banyak soalan membabitkan isu semasa dalam negara, pelajar jurusan Bahasa Inggeris itu berpendapat tidak ada kebaikannya bertanya kepada presiden AS dan minta komennya mengenai politik dalaman negara serta isu rasuah.

“Saya rasa tiada gunanya minta Barack Obama komen mengenai apa yang berlaku dalam negara.

“Ini adalah persidangan Asia Tenggara mengenai isu serantau, masalah kita adalah perkara dalaman, dan ia berpunca daripada Kabinet sendiri,” katanya.

2 comments:

  1. Tak payah la tanya soalan kerana admin sendiri dh tanya sendiri jawab

    ReplyDelete
  2. ingat Presiden nak layan ke soalan dari budak mentah macam ni?

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...