Saturday, 7 November 2015

Akhirnya Rahsia Ini Tidak Boleh Disembunyikan Lagi..

Pas sedia menjalinkan kerjasama bersama Umno ke arah pentadbiran kerajaan yang lebih amanah, cekap dan telus bagi kepentingan rakyat.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Terengganu, Hanafiah Mat berkata, bagaimanapun, Pas tidak akan menjalinkan kerjasama politik selagi Umno tidak ubah dasar pentadbiran sebagaimana disyariatkan Islam.

“Pas sememangnya bersedia untuk jalin kerjasama bersama Umno jika ia memberi kebaikan dan mengutamakan kepentingan rakyat. Kita akan beri pandangan sekiranya terdapat tata kerja yang merugikan rakyat.

“Mungkin ada perancangan kerajaan di peringkat keputusannya baik, tetapi di peringkat pelaksanaan tidak menepati apa yang sepatutnya dirangka,” katanya bagi mengulas kenyataan Pengerusi Umno Negeri, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman pada Majlis Perasmian Konvensyen Umno Terengganu 2015 di Dewan Gamelan, Hotel Primula, kelmarin.

Hanafiah berkata, terdapat beberapa projek kerajaan yang dilihat membazir seperti pembangunan Tasik Kenyir, Monsun Cup, Bandar Baru Kijal dan beberapa lagi pembangunan dilihat tidak menguntungkan rakyat.

“Paling utama, kita mahu beri pandangan dalam urusan royalti minyak Terengganu yang merupakan anugerah ALLAH SWT kepada penduduk di negeri ini, di mana sepatutnya penduduk Terengganu mendapat manfaat besar dari hasil minyak itu,” katanya.

Hanafiah berkata, sepatutnya, rakyat Terengganu beroleh manfaat hasil royalti minyak itu sebaliknya ia ‘disedut’ dan negeri ini masih lagi antara negeri termiskin dalam Malaysia.

“Hasil royalti ini sepatutnya dapat dinikmati rakyat negeri ini, tetapi sehingga kini kita masih lagi tertanya-tanya mengenai perkara ini dan Terengganu masih lagi termasuk dalam kalangan negeri termiskin di negara ini.

“Sebab itulah kita di pihak pembangkang akan mainkan peranan kita dengan sewajarnya agar kerajaan yang memerintah dapat melaksanakan tanggungjawab dengan jujur dan amanah,” katanya.

Dalam pada itu, Hanafiah berkata, kerjasama politik hanya dapat terjalin sekiranya dasar pentadbiran Umno diubah kepada pentadbiran yang ditetapkan syariat Islam seperti melaksanakan hukum hudud serta kembali kepada perlembagaan Pas ketika parti itu memerintah suatu ketika dulu.

“Sekiranya dasar pemerintahan diubah dan syarat yang diletakkan Pas itu diikuti dan dilaksanakan Umno, kita akan pertimbangkan untuk jalin kerjasama,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri sedia menjalin kerjasama bersama Pas dan sedia pertimbangkan untuk menjadi negeri pertama berkolaborasi dengan Pas di peringkat negeri.



5 comments:

  1. Terbaek.. saya sokong tuan... juga naib presiden PAS iskandar samad.. takkan kami nak sokong calon yg kalah dlm pemilihan naib presiden!!

    ReplyDelete
  2. oh nik aziz inikah yang engkau mahu

    ReplyDelete
  3. Teramat jelas tahap minda kewanroslian komen yang pertama di atas.

    ReplyDelete
  4. Jom kite bincang.. apa salahlaku TGHH sebenarnya yg cuba didedahkan husam..?

    ReplyDelete
  5. Apa masalahnya kalau berkolaborasi, asalkan rakyat jangan derita. Banyak sudah yang rosak dek oleh pemimpin2 yang rasuah, tamak dan tidak amanah. Saya setuju PAS sebagai pembangkang yang berkesan. Sebelah PAS menegur dan mengingatkan UMNO terhadap perkara yang merosak dan merugi Islam dan rakyat, Sebelah lagi boleh berkerjasama dengan UMNO terhadap benda2 baik seperti mengangjurkan ceramah Dr. Zakir Naik serta program mendidik rakyat seperti yang dijalankan sersama. Di peringkat kampung masyarakat melayu islam bersatu padu, berkerja sama tanpa ikut rentak politik. Ini namanya politik matang, menampakkan kematangan politik TGHH dan saf kepimpinanan.

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...