Saturday, 17 October 2015

Tengku Mahkota Johor Pula Bakal Ditahan Bawah Akta Hasutan?

Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan semua negeri termasuk Johor mempunyai hak untuk menarik diri dari Malaysia jika mana-mana terma dalam perjanjian antara Johor dan Persekutuan Tanah Melayu tidak dipatuhi.

Dalam satu temu bual dalam laman web sukan FourthOfficial.com, Tengku Mahkota Johor itu berkata kenyataannya mungkin akan disifatkan menghasut namun beliau lebih bimbang dan mengutamakan rakyat negeri itu.

"Saya akan menjadi Sultan pada masa depan dan tanggungjawab utama saya ialah kepada rakyat Johor.

"Malaysia sangat penting kepada saya, tetapi Johor dan JDT keutamaan saya," katanya. Tengku Mahkota Johor berkata, rakyat mempunyai hak untuk tahu keadaan huru-hara yang berlaku di Malaysia hari ini tidak mempunyai kaitan dengan Istana Johor.

"Bertahun kita hidup aman dan bebas.

"Malah, kami hanya menyertai Persekutuan Tanah Melayu, apabila kedua-dua pihak bersetuju dengan beberapa syarat-syarat asas.

"Dan jika mana-mana terma itu dilanggar, kita ada hak untuk menarik diri daripada negara ini. 

"Anda boleh menuduh saya menghasut sentimen kenegerian, tapi saya hanya menjalankan tugas saya kepada rakyat Johor, dan mengingatkan mereka tentang sejarah dan warisan tanah yang besar ini. "

Jun lalu, adindanya Tunku Idris Sultan Ibrahim mencetuskan kontroversi apabila memuat naik tulisan berkaitan perjanjian bersama dengan Persekutuan Tanah Melayu.

Dalam status di Instagram yang sudah dipadam antaranya menyebut Johor bersetuju menandatangani perjanjian 1946 itu dengan mengenakan beberapa syarat.

Perjanjian itu termasuk Islam menjadi agama negeri, air dan tanah negeri menjadi hak mutlak Johor serta askar timbalan setia tidak boleh dibubarkan.

Tunku Idris juga tidak terkecuali mengkritik Putrajaya selain bapanya Sultan Johor yang menggesa kerajaan menyelesaikan masalah ekonomi negara dan penyusutan nilai ringgit.

Beberapa bulan lalu, Tengku Mahkota Johor turut dibidas dengan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz ekoran mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana tidak muncul dalam program Nothing2Hide.

Beliau juga pernah menegur Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Mohd Puad Zarkashi kerana mengatakan hubungan antara perdana menteri dan Istana Johor baik.

Tengku Mahkota Johor berkata Puad tidak seharusnya membuat kenyataan jika tidak mengetahui keadaan sebenar.

Dalam wawancara bersama FourthOfficial.com, Tengku Mahkota Johor berbicara mengenai sukan bola sepak, JDT dan perancangan dalam industri itu.



1 comment:

  1. Beruntunglah rakyat Johor kerana pihak Istana mengambil berat tentang kesejahterasan rakyat!!

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...