Monday, 5 October 2015

Tamparan Hebat Buat Pakatan Harapan.. Saksikanlah

Ketika Pakatan Harapan yang baru dilancarkan bergelut menghadapi isu persepsi, aktivis Maria Chin Abdullah mempersoalkan mengapa parti politik pembangkang tergesa-gesa mahu menubuhkannya.

Pengerusi Bersih 2.0 itu berkata, Pakatan Harapan diumumkan sebelum 3 parti pembangkang itu menyediakan sesuatu yang konkrit untuk ditawarkan kepada rakyat Malaysia sebagai alternatif kepada Barisan Nasional (BN).

Beliau yang turut dijemput hadir pada sidang meja bulat merundingkan gabungan itu berkata, walaupun beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diberi peluang memberi pandangan, keputusan seolah-olah sudah dibuat PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk menubuhkan pakatan itu.

"Saya mempersoalkan proses di mana keputusan dibuat secara tergesa-gesa pada sidang meja bulat itu," kata Maria kepada The Malaysian Insider.

"Tidak begitu banyak NGO dijemput dan hanya sesetengah sahaja yang diberikan 'hak bercakap'," katanya.

Pada 22 September lepas, Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan penubuhan Pakatan Harapan sebagai gabungan baharu bagi menggantikan Pakatan Rakyat (PR) yang "terkubur" tahun ini disebabkan perselisihan di antara DAP dan PAS.

Dr Wan Azizah juga berkata, Pakatan Harapan turut bersetuju Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri mereka sekiranya gabungan pembangkang baharu itu berjaya menawan Putrajaya.

Selain itu, katanya, gabungan itu kelihatan seperti tidak mencapai persetujuan dalam perkara lain.

Maria berkata, sidang meja bulat itu gagal membincangkan "Buku Jingga" dan manifesto lain dikeluarkan semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), isu-isu penting yang timbul dan sesetengahnya perlu diberikan perhatian segera termasuk pelan jangka panjang.

"Mesyuarat itu juga tidak membentangkan pelan untuk menyelesaikan krisis nasional yang sering kali ahli politik ini katakan mereka akan bantu untuk selesaikan," katanya.

Maria berkata, adalah penting untuk Pakatan Harapan mempunyai pelan nasional semasa mengumumkan penubuhannya kerana rakyat hendak melihat bagaimana krisis yang melanda negara pada hari ini dapat diselesaikan.

"Pada ketika ini, tiada kepimpinan yang boleh melakukan secara individu atau kolektif, membentangkan bagaimana mereka boleh menyelesaikan dengan segera isu seperti politik perkauman, tiada arah dalam menyelesaikan masalah ekonomi kita yang teruk dan kelemahan tadbir urus dan perkhidmatan awam.

"Ini semua berlaku kerana campur tangan kerajaan pusat terhadap institusi yang seharusnya menyelesaikan masalah ini seperti membersihkan rasuah, reformasi pilihan raya terutamanya proses persempadanan semula yang dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak kompeten bagi memastikan BN terus berkuasa.

"Inilah sebabnya mengapa Pakatan Harapan perlu mempunyai pelan nasional," katanya.

Pakatan Harapan tidak ditubuhkan secara tergesa-gesa dan keputusan dibuat sebelum sidang meja bulat, kata Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli bagaimanapun menafikan Pakatan Harapan ditubuhkan secara tergesa-gesa dan keputusan sudah dibuat sebelum sidang meja bulat.

"Ia proses 2 hala. Pimpinan parti politik memberi pandangan dan mendengar pandangan NGO.

"Begitu juga pimpinan NGO memberi pandangan dan mendengar pandangan orang lain yang turut hadir," kata ahli Parlimen Pandan itu kepada The Malaysian Insider.

Beliau yang juga naib presiden PKR berkata sepanjang rundingan meja bulat, jelas pendapat penubuhan segera Pakatan Harapan adalah satu keutamaan suara majoriti, baik di kalangan pimpinan parti politik mahupun pimpinan NGO.

"Hanya satu dua pimpinan NGO yang berpandangan tidak perlu disegerakan, untuk memujuk PAS. Empat pimpinan NGO lain yang mewakili segmen masing-masing berpandangan, penubuhan Pakatan Harapan perlu disegerakan.

"Tidak timbul soal keputusan dibuat lebih awal. Dan kalau pun ada yang berpandangan begitu, hanya pandangan satu dua orang dan saya hormati pandangan itu," katanya.

Begitu pun, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR akan bertemu Ahad ini selepas satu petisyen kepada presiden, yang ditandatangani 25 ahli menuntut supaya satu mesyuarat tergempar diadakan bagi membincangkan pembentukan "mengejut" pakatan baharu itu.

Bagaimanapun, Maria berkata, walaupun terdapat "pergeseran" berhubung penubuhan Pakatan Harapan, gabungan pembangkang baharu itu masih diperlukan demi keseimbangan politik negara.

"Ujian litmus kepada Pakatan Harapan sekarang ialah untuk menunjukkan pelan nasional mereka dan memulakan perundingan di peringkat nasional untuk mendapatkan pandangan ramai pihak.

"Ia akan menunjukkan apa yang dimaksudkan dengan tadbir urus demokratik," katanya.




2 comments:

  1. Maria Chin adlah NGO, bukan ahli mana2 parti. Tidak salah untuknya mengkritik. Bila NGO mengkritik parti, pimpinan parti harus dengar. Begitulah sebaliknya.

    Dlm isu Pakatan Harapan (PH), soal tergesa2 tidak timbul kerana semua yg hadir dlm rundingan meja bulat bukannya baru 2-3 tahun berpolitik. Mereka dh berpuluh tahun dlm arena ini. Mereka dh tahu sebab & akibat apb melambat-lambatkan pengisytiharan gabungan. Mereka tahu kelewatan isytihar PH akan memudahkan UMNO-BN mengatur strategi. Selain tu, ia akan menyenangkan agen2 BN dlm PAS, PKR dan DAP memecah-belah akar umbi.

    'Tergesa-gesa membuat keputusan' adalah istilah yg dipromosikan oleh BN. NGO jgn mudah terpedaya.

    - Abd Sani.

    ReplyDelete
  2. bertanya jer tamparan hebat?????

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...