Thursday, 15 October 2015

Punca Saifuddin Abdullah Sertai PKR Tersebar?

Bekas timbalan menteri pengajian tinggi Datuk Saifuddin Abdullah akan meninggalkan Umno dan menyertai PKR esok.

Beliau akan diumumkan sebagai ahli PKR pada satu sidang media di ibu pejabat PKR pada jam 12 tengah hari esok, The Malaysian Insider difahamkan.

Bekas ahli Parlimen Temerloh itu baru-baru ini diberikan surat tunjuk sebab oleh Umno kerana menghadiri perbincangan meja bulat yang membawa kepada pembentukan pakatan pembangkang baharu, Pakatan Harapan.

"Ya, dia menyertai kami," kata seorang pemimpin kanan PKR kepada The Malaysian Insider yang tidak mahu namanya disiarkan.

The Malaysian Insider menghubungi dan menghantar pesanan ringkas (SMS) kepada Saifuddin untuk mengesahkan berita itu tetapi tidak mendapat balasan setakat ini.

Ketua Pembangkang dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dijadualkan mengumumkan keahlian Saifuddin itu tengah hari esok.

Parti itu juga malam ini mengeluarkan notis jemputan membuat liputan kepada media berhubung sidang akhbar yang akan diadakan pada jam yang sama esok di mana beberapa ahli baru dari Umno akan diumumkan.

Sumber parti berkata, Saifuddin dijangka memainkan peranan penting dalam pakatan pembangkang yang baharu ditubuhkan, Pakatan Harapan.

The Malaysian Insider difahamkan, rancangan sedang dibuat untuk melantik Saifuddin sebagai setiausaha eksekutif kepada Pakatan, yang juga dianggotai DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Bagaimanapun, perkara tersebut tertakluk kepada pengesahan daripada kedua-dua parti rakan itu.



No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...