Monday, 26 October 2015

Presiden 1MDB Bikin Skandal Makin Panas

DAP hari ini mempersoalkan mengapa Presiden 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Arul Kanda Kandasamy memberikan taklimat tertutup kepada ahli-ahli MCA apabila beliau sebelum ini berkata hanya akan menjawab kepada pihak berkuasa.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua bertanya jika Arul sekarang akan melakukan perkara yang sama, dengan memberi peluang kepada rakyat Malaysia dan ahli Parlimen untuk bertanya soalan mengenai skandal kewangan dikaitkan dengan 1MDB.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu juga tertanya-tanya mengapa Arul mengelak setiap persoalan sebelum ini dengan mengatakan beliau hanya akan menjawab kepada pihak berkuasa, tetapi boleh memberi respons kepada MCA.

"Adakah ia kerana penonton MCA ini dijangka lebih mudah dipengaruhi, kurang berpengetahuan atau lebih mudah tertipu?

"Lebih penting lagi, jika beliau melihat ia sesuai untuk memberi taklimat peribadi kepada sebuah parti politik, mengapa tidak boleh memberikan taklimat yang sama kepada rakyat Malaysia atau sekurang-kurangnya kepada ahli Parlimen," kata Pua dalam kenyataan hari ini.

"Adakah beliau melakukan perkara yang sama untuk DAP?"

Pua berkata, sejak MCA mempunyai peluang sesi soal jawab bersama Arul, presiden 1MDB itu mempunyai tanggungjawab memastikan hak istimewa yang sama turut diberikan kepada semua rakyat Malaysia.

"Arul tidak boleh berkata beliau hanya akan bercakap dengan pihak berkuasa dan tidak mahu memberi penjelasan dan jawapan telus kepada soalan yang dikemukakan pengkritik berhubung syarikat pelaburan negara dibebani hutang itu."

Pua menegaskan apabila ditanya pada taklimat itu jika minit mesyuarat lembaga 1MDB bocor, yang diterbitkan di dalam laman Sarawak Report adalah benar, Arul dilaporkan berkata: "Dari segi minit mesyuarat lembaga, kami mengesahkan ia sahih. "

Pua berkata, pengesahan Arul adalah penting kerana jika minit mesyuarat yang bocor sahih, adalah jelas lembaga pengarah 1MDB marah dengan eksekutif atasan kerana mengingkari keputusan dan arahan lembaga, bertentangan dengan penafian berterusan syarikat sarat hutang itu dalam urus niaganya.

Beliau menegaskan jika mengikut minit mesyuarat, 1MDB meneruskan pemeteraian usaha sama dengan PetroSaudi (PSI) tanpa pengetahuan khusus dan kelulusan daripada lembaga.

"Lebih khusus lagi, eksekutif tertinggi 1MDB memindahkan AS$700 juta pelaburan yang dicadangkan bagi akaun yang tidak berkaitan dengan syarikat usaha sama (JVco).

"Minit mesyuarat jelas menyatakan 'ahli lembaga pengarah tidak dirujuk mengenai perubahan rancangan untuk membayar AS$700 juta kepada PSI’.

"Pemahaman ahli lembaga pengarah, AS$1 bilion sepenuhnya akan pindahkan ke akaun bersama bank di bawah nama JVCo...

"Paling penting, minit mesyuarat itu akan membuktikan tanpa sebarang keraguan munasabah yang AS$700 juta daripada AS$1 bilion dicadangkan disalahgunakan Datuk Shahrol Halmi," kata Pua merujuk kepada bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB.

Beliau berkata pihak lembaga begitu marah dan menuntut AS$700 juta dikembalikan “agar dana berkenaan boleh diberi kepada saluran asal yang dipersetujui”.

Disebabkan itu, Pua bertanya sama ada ini adalah sebab mengapa Arul teragak-agak mengakui yang minit mesyuarat bocor sambil menambah, ia bermakna Shahrol harus didakwa kerana melakukan pecah amanah.




No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...