Monday, 19 October 2015

Persidangan Dewan Rakyat Hari Ini Huru Hara

Dua ahli Parlimen DAP – Lim Lip Eng (Segambut) dan Gobind Singh Deo (Puchong) diarah keluar daripada persidangan Dewan Rakyat hari ini selepas enggan akur arahan Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Lim direhatkan susulan tindakan beliau yang bangun ketika Dewan sedang membincangkan usul berkenaan Jawatankuasa Pemilihan Parlimen yang dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Lim dipercayai bangun bagi mempersoalkan usulnya berkenaan kenaikan kadar tol yang ditolak speaker sebelum itu.

Manakala Gobind direhatkan Pandikar apabila beliau bangun mempertahankan tindakan Lim dan mempersoalkan kejujuran speaker serta enggan mendengar arahan memintanya duduk di tempatnya.

Tindakan Pandikar itu kemudiannya mencetuskan kekecohan daripada ahli Parlimen pembangkang yang membantah tindakan tersebut.

"Kecuali sengaja untuk melengahkan mesyuarat, saya tidak nampak alasan lain. Yang Berhormat bercakap mempersoalkan integriti," kata Pandikar merujuk kepada kenyataan Gobind yang mempersoalkan integritinya.

Malah, Pandikar juga berulang kali mengarahkan Gobind meninggalkan Dewan apabila beliau masih lagi berdiri dan bercakap meskipun sudah diarahkan keluar.

Pada sidang media di lobi Parlimen selepas itu, kedua-dua ahli Parlimen tersebut mempersoalkan tindakan speaker itu yang bukan sahaja menolak usul, namun mengarahkan mereka keluar Dewan.

Gobind berkata, Speaker sewajarnya memberi penjelasan dan alasan kukuh di sebalik penolakan usul memandangkan ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok juga memberitahu usulnya tidak diterima.

Beliau berkata alasan yang diberikan speaker amat tidak masuk akal kerana menyatakan ada usul lebih penting yang harus disegerakan dan cuma satu usul diterima dalam satu hari.

"Speaker berkata, Dewan menerima usul Teresa. Namun Teresa memberitahu kami, usul beliau juga ditolak. Kerana itu kami mahu speaker mempertimbangkan dan memberikan alasan.

"Kami tidak tahu kenapa beliau (Pandikar) marah-marah. Beliau harus mengawal kemarahan, tidak harus datang ke Parlimen, kemudian marah-marah dan tolak," katanya.

Beliau dan juga Lim turut menggesa speaker menulis surat kepada mereka bagi memberikan penjelasan, bukannya hanya membiarkan mereka membuat andaian.

"Sebagai ahli Parlimen, memang tugas kita untuk bercakap.

"Walaupun betul prosesnya, Speaker mengarahkan untuk diam dan duduk, sebagai speaker kita berpendapat seharusnya ahli Parlimen diberi peluang untuk menjelaskan terdahulu sebelum membuat keputusan," katanya.

Beliau turut berkata tidak mempunyai maklumat sampai bila penggantungan dari sidang Dewan itu berkuatkuasa.



No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...