Thursday, 22 October 2015

Pengerusi Bersih Dedah Punca Usul Undi Tidak Percaya Di Tolak

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menyelar gabungan pembangkang Pakatan Harapan kerana gagal menjalankan tugas membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan menggesa semua ahli Parlimen agar tidak menyokong Bajet 2016 Jumaat ini untuk menggulingkannya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah menyelar Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah dan juga PAS, kerana gagal menyelaraskan usaha untuk membawa usul itu.

Beliau mempertikaikan langkah yang dibuat blok pembangkang yang menarik balik usul undi tidak percaya oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian pada saat-saat akhir dan kemudian dikemukakan semula Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tetapi ditolak Speaker atas alasan teknikal.

Maria berkata apa yang mengecewakan adalah ketidaktentuan sama ada PAS akan menyokong usul itu jika dibentangkan.

"Rakyat Malaysia sudah menyatakan ketidakyakinan mereka terhadap PM Najib melalui penyertaan penuh bersemangat semasa kedua-dua perhimpunan aman Bersih 4 dan pasca Bersih 'kempen Undi Tidak Percaya' melalui www.dearYB.my di mana setakat ini, 12,000 surat sudah diterima manakala 20,000 poskad sudah diedarkan ke seluruh negara," katanya.

Disebabkan itu beliau menggesa Pakatan Harapan dan PAS untuk mengarahkan semua ahli Parlimen mereka menghadiri Dewan Rakyat semasa perbahasan Bajet 2016 dan tidak mengundinya jika terdapat peluang.

Maria juga menggesa semua ahli Parlimen Barisan Nasional untuk tidak mengundi memihak kepada Bajet 2016 yang dibentangkan.

"Ahli Parlimen hendaklah terlebih dahulu bertindak demi kepentingan negara dan 'pemberontakan kumpulan penyokong' – penyokong kerajaan mengundi membangkang kerajaan – adalah sebahagian daripada permainan dalam demokrasi berparlimen.

"Mungkin arahan atau amaran daripada Ketua Whip, tetapi mereka harus bertindak berdasarkan aspirasi rakyat.

"Dan jika mereka tidak mempunyai keberanian untuk memberontak, tidak hadir mengundi boleh menjadi pilihan mereka," kata Maria.

Tambahnya, jika Bajet 2016 Najib ditolak Parlimen, ia menandakan beliau hilang keyakinan di Dewan Rakyat.

"Dalam keadaan itu, Najib kemudiannya mesti meletak jawatan, bersama-sama dengan Kabinetnya agar Yang di-Pertuan Agong dapat melantik perdana menteri baharu atau meminta supaya Parlimen dibubarkan," katanya.




1 comment:

  1. Najib bukan bodoh nak membiarkan kebinetnya roboh yang bodoh tu pembangkang sebelum bawa usul telah heboh tapi bila dewan bersidang usul ditarik balik ini menunjukkan kewibawaan pembangkang hanya berfaksikan nafu serakah semua MP pembangkang yang konon hendak tonjolkan yang mereka perihatin dengan isue semasa,bodoh bila tidak berbincang sebelum usul dibuat.

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...