Monday, 5 October 2015

Pemimpin Malaysia Memang Lemau.. Ini Buktinya

Malaysia harus mencontohi ketegasan Singapura yang mahu mengambil tindakan undang-undang bagi menangani masalah jerebu kerana perkara itu tidak lagi boleh diselesaikan dengan rundingan semata-mata, kata penganalisis politik Prof Zainal Abidin Borhan.

Beliau dilaporkan Berita Harian berkata, negara lain serta Malaysia seolah-olah mengambil sikap berdiam diri jika dibandingkan dengan Singapura yang hendak menyaman Indonesia berikutan masalah itu.

“Maafkan saya, tetapi saya jelas berpendapat kaedah tebang dan bakar yang diamalkan Indonesia dalam pembukaan ladang baharu adalah teknologi primitif yang memberi banyak akibat buruk kepada alam sekitar.

 “Mereka perlu fikirkan teknologi yang lebih baik, lebih moden dan tidak mendatangkan masalah kepada negara tetangga,” beliau dipetik berkata akhbar itu.

Dalam perkembangan lain, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab pula berkata, darurat bencana jerebu hanya akan diisytiharkan sekiranya indeks pencemaran udara (IPU) mencecah ke paras 500.

Katanya, dengan pengisytiharan itu, semua premis awam serta swasta termasuk kilang, ladang, kawasan pembinaan dan kuari perlu ditutup.

“Bagaimanapun, arahan penutupan itu tidak termasuk perkhidmatan air, elektrik, kesihatan, keselamatan, komunikasi, pelabuhan, pengangkutan, kewangan serta pembekal bahan bakar,” katanya.

Malaysia pernah mengumumkan darurat bencana jerebu sebanyak 3 kali – pertama pada 19 September 1997 di Sarawak apabila bacaan IPU melebihi 600, sebelum Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang pada 11 Ogos 2005 dengan IPU melebih 500 dan kali terakhir di Muar dan Ledang, Johor pada 23 Jun 2013 (IPU melebihi 500).

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Datuk Che Gayah Ismail dilaporkan berkata jerebu dijangka akan beransur berkurangan mulai esok dan hilang selepas 10 Oktober, bergantung kepada pembentukan ribut tropika Mujigae di rantau ini.

Che Gayah berkata, ribut tropika Mujigae yang berada di perairan Filipina sejak Khamis lalu menyebabkan negara menerima tiupan angin dari arah Barat Daya yang membawa jerebu, selain taburan hujan berkurangan.

“Mujigae dijangka berakhir selepas membadai Vietnam hari ini. Namun, ribut tropika Shoi Wan pula terbentuk di timur Filipina pada 2 Oktober lalu dan diramalkan bergerak ke Jepun, yang menjadikan cuaca kering di negara kita,” katanya.



No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...