Saturday, 17 October 2015

Najib Panas Punggung Kalau Baca Berita Ini?

Seorang ahli Parlimen PKR mengemukakan notis untuk mencadangkan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi persidangan Isnin ini.

Notis dikemukakan wakil rakyat Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian itu merupakan item ke-25 dalam senarai untuk dibahaskan apabila Dewan mula bersidang untuk mesyuarat ke-3 bagi penggal ke-3 Parlimen ke-13, Isnin ini.

Hee menyenaraikan beberapa sebab untuk memulakan usul itu, termasuk wang RM2.6 bilion yang diterima Najib dalam akaun peribadinya.

"Dewan ini mengemukakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas alasan penerimaan 'wang derma' berjumlah RM2.6 bilion yang pada mulanya dinafikan, kemudiannya mengugut untuk menyaman akhbar Wall Street Journal dan akhirnya mengakui wang tersebut diperoleh daripada individu yang berasal dari Timur Tengah," menurut notis itu.

"Dengan tidak menjelaskan mengapa 'wang derma' ini dimasukkan ke akaun peribadi dan bukan atas nama parti, Dewan juga tidak berpuas hati ke atas siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang berlaku di mana 'special task Force' yang sepatutnya menyiasat skandal ini dibubarkan tanpa memberi sebarang alasan sehingga Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail ditamatkan perkhidmatan, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipindahkan, pihak polis mengganggu siasatan SPRM dan Bank Negara, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang sedang menjalankan siasatan terhadap kes 1MDB tidak berfungsi akibat 4 anggota PAC yang terbabit dilantik menjadi menteri atau timbalan menteri oleh perdana menteri, pengarah Cawangan Khas (SB) diberhentikan, timbalan pengarah SB dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri tanpa diberi tugasan."

Hee berkata disebabkan masalah yang dinyatakan, Najib menjejaskan imej negara di mata dunia dan menyebabkan pelabur tidak yakin terhadap kerajaan sekarang sehingga ekonomi menjadi tidak stabil, serta pasaran saham menjunam teruk dan kejatuhan nilai wang ringgit Malaysia berbanding dolar Amerika Syarikat.

"Maka rakyat Malaysia tidak lagi percaya terhadap perdana menteri dan dengan ini Dewan hendaklah mengambil ketetapan untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadap perdana menteri," menurut notis itu yang boleh diperoleh daripada laman web Parlimen Malaysia.

Pengkritik Najib selama ini menggesa usul undi tidak percaya dibentangkan terhadap Najib.

Perdana menteri ketika ini menghadapi serangan berkaitan syarikat yang diilhamkan beliau, 1MDB, serta "derma" RM2.6 bilion dari penderma yang tidak diketahui di Timur Tengah, yang dimasukkan ke akaun peribadi beliau menjelang pilihan raya umum 2013.

PKR sebelum ini berkata, pembangkang hanya memerlukan 25 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menyokong usul undi tidak percaya bagi memaksa Najib berundur.

Pengkritik Najib yang dulunya menyokong beliau, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, juga menggesa penggubal undang-undang persekutuan daripada BN memberikan sokongan mereka kepada usul tidak percaya itu.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli mengakui semalam, "sukar" untuk berjaya membawa usul tidak percaya di Dewan Rakyat, tetapi pihak pembangkang akan tetap cuba melakukannya.

"Kita perlu susun semula jangkaan. Kita tidak mahu situasi di mana selepas Parlimen, Najib masih berkuasa dan orang menyalahkan kita. Bukan kami yang kawal, Najib dan speaker (yang kawal)," katanya.

"Betul, memang sukar tetapi kita kena cuba," kata Rafizi lagi



1 comment:

  1. Nak tengok,ada tak mp bn join ada berani ke,jgn ingat kuasa..ingatlah penderitaan rykt,mp yg berintegriti d sygi runt,.. amin

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...