Thursday, 8 October 2015

Mahathir Mungkin Ditangkap Kerana Artikel Ini?

Putrajaya memusnahkan demokrasi di negara ini dengan mengugut dan mengambil tindakan terhadap mereka yang mendedahkan salah laku Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Beliau berkata, kerajaan terus-terusan menuduh mereka yang mendedahkan kesalahan Najib sebagai cubaan mengguling kerajaan secara tidak demokratik.

"Sebenarnya, kerajaanlah yang dengan mengugut bertindak terhadap rakyat, melarang ahli Umno daripada mendengar syarahan politik, kerajaan sudah tidak demokratik lagi.

 "Tidak ada demokrasi untuk diruntuhkan oleh rakyat, kerana demokrasi sudah pun dimusnahkan oleh kerajaan," kata bekas perdana menteri itu dalam posting di blognya hari ini.

Perdana menteri paling lama berkhidmat itu berkata, imej negara ini bertukar daripada demokrasi kepada seakan-akan "police state" di mana salah laku pimpinan kerajaan tidak boleh diperkatakan.

"Undang-undang disalah guna untuk menakutkan rakyat. Kesalahan kerajaan dan perdana menteri tidak boleh disebut pun.

"Perjumpaan rakyat dihalang dengan pelbagai cara, dituduh rasis dan kerajaan menggalakkan demonstrasi rasis diadakan kerana kononnya perhimpunan Bersih yang bertujuan meminta Najib berhenti didakwa adalah rasis, satu percubaan orang Cina menjatuhkan kerajaan Melayu," katanya.

Beliau merujuk kepada Himpunan Rakyat Bersatu atau 'perhimpunan baju merah' pada 16 September yang diadakan sebagai tindak balas kepada perhimpunan Bersih 4 pada 29 dan 30 Ogos.

Dr Mahathir juga menyentuh mengenai penahanan bekas naib ketua bahagian Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, atau Sosma.

"Apakah orang yang melapor kepada polis berkenaan jenayah yang berlaku boleh dituduh jadi pengganas?

"Semua ini menakutkan rakyat, terutama ahli Umno dan pemimpin kerdilnya. Mereka tahu ada perkara yang salah yang sedang berlaku. Tetapi mulut mereka ditutup. Telinga juga ditutup.

"Kebebasan bersurat khabar yang kononnya didokong kerajaan ditutup kerana melapor berkenaan jenayah 1MDB dan lain-lain," katanya, merujuk kepada firma pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad.

Menurut polis, Khairuddin ditahan kerana tindakan beliau menggunakan agensi penguatkuasaan asing bagi memberi tekanan kepada Malaysia berhubung kes 1MDB boleh dianggap sebagai tindakan sabotaj terhadap negara.



No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...