Sunday, 11 October 2015

Berita Dari Penang Yang Tidak Dihebahkan Media Arus Perdana

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) hari ini menafikan Ketua Menteri Lim Guan Eng merasuah tiga daripada pegawai penguatkuasanya untuk menarik balik laporan polis terhadap dua lelaki yang melanggar peraturan memarkir kenderaan di George Town.

Dalam sidang medianya Ahli Majlis MBPP Ong Ah Teong berkata dakwaan itu adalah "pembohongan, fitnah jahat dan cubaan mencetuskan kebencian terhadap kerajaan negeri."

Dakwaan itu termuat pada akaun Facebook Penang Kini yang dikendalikan pihak tidak dikenali.

Dalam posnya, penulis mendakwa Lim memberikan habuan RM200 kepada tiga penguatkuasa MBPP yang terlibat mengunci tayar sebuah kereta di George Town supaya menarik balik laporan polis terhadap dua lelaki Cina yang memaki mereka.

Buat laporan polis lagi

Pos itu menarik banyak komen dengan kebanyakannya berbau perkauman terhadap pegawai MBPP serta dua lelaki yang terlibat dalam insiden berkenaan.


Ong membuat laporan polis terhadap akaun berkenaan yang dikatakan "mempertikai maruah" tiga pegawai penguatkuasa Melayu berkenaan.

Semalam Lim memberikan insentif bernilai RM200 kepada tiga penguatkuasa terbabit - Zarina Othman, Siti Asa Abu Bakar dan Sabrina Mohd Sabri - kerana ketegasan mereka menjalankan tugas.

Kata Ong kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi pada 7 Oktober lalu dan sejam kemudian, seorang daripada pegawai terbabit membuat laporan polis berhubung tindak tanduk dua lelaki berkenaan.

"Bagaimanapun pengadu menarik balik laporan berkenaan pada malamnya kerana bimbang terhadap keselamatan diri selepas diugut dua lelaki terbabit yang akan mencederakannya jika mereka terserempak lagi.

"Malah mereka memanggil penguatkuasa itu sebagai anjing," katanya.

Sehari kemudian, kata Ong, MBPP membuat sidang media mengutuk dua lelaki berkenaan dan menggesa penguatkuasa MBPP itu membuat laporan polis semula.

Penguatkuasa terbabit kemudian membuat laporan polis untuk kali kedua.

"Hanya sehari kemudian (9 Oktober) Lim menyerahkan insentif RM200 kepada tiga penguatkuasa itu kerana keberaniuan dan profesionalisme mereka menangani kes berkenaan," katanya.

Semalam polis menahan dua lelaki untuk membantu siasatan berhubung dakwaan cuba menghalang pejawat awam melaksanakan tugas.




No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...