Saturday, 17 October 2015

Awie Wings Malu Kerana 1MDB

Selepas Majlis Raja-Raja mengeluarkan titah supaya isu 1MDB segera ditangani, tidak ada tindakan yang lebih baik dapat diambil kerajaan selain daripada berusaha menyelesaikan masalah berkenaan secara berhemah dan terhormat, kata vokalis Wings, Awie.

Menurut Awie, sejak krisis syarikat sarat hutang itu didedahkan, kesannya mencemar nama kerajaan di dalam mahupun di luar negara.

“Kalau boleh, kita mahu perkara ini diselesaikan dengan baik sebab imej Malaysia sangat tercemar ketika ini,” katanya ketika ditemui Malaysiakini.

Penyanyi dan pelakon itu memberi contoh bagaimana isu 1MDB mendorong ramai pengguna media sosial memperlekehkan negara atas rasa tidak puas hati mereka dengan penjelasan diberikan.

“Saya buka Internet, contohnya di YouTube. Ramai orang yang mengutuk dan ia amat memalukan.

“Jangan sampai rakyat pun malu untuk mengaku tinggal di negara ini,” katanya.

Sentimen naik mendadak

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Syed Danial Syed Ahmad 6 Oktober lalu mengeluarkan kenyataan yang mahu kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan 1MDB dan tindakan tegas diambil ke atas pihak yang terlibat.

Disebabkan kegagalan 1MDB menguruskan beban hutangnya itu, ia memberi kesan besar kepada ekonomi dan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Malaysia juga terjejas.

Selain itu, kata Awie, 1MDB juga mendorong sesetengah pihak memainkan sentimen perkauman dan ia dilihat meningkat mendadak sejak kebelakangan ini.

“Kita boleh lihat sekarang banyak banyak sentimen perkauman dimainkan hingga hilang rasa hormat antara satu sama lain hanya kerana politik.

“Kita sebagai rakyat sampai takut untuk keluar.

“Apa yang lebih membimbangkan ialah tentang masa depan dan nasib anak-anak kita,” kata penyanyi Taman Rashidah Utama itu.

Awie menambah, teguran Majlis Raja-Raja itu perlu diterima secara positif demi masa depan rakyat.

“Apabila raja bersidang, ia menunjukkan satu benda yang baik dan bagus. Biarlah perkara itu (isu 1MDB) dibuat dengan betul kerana negara kita masih ada undang-undang.

“Kita sebagai rakyat mengharapkan sesuatu yang baik akan berlaku,” katanya.



No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...