Sunday, 11 October 2015

Anak Orang Asli Dedah Punca Hilang Dalam Hutan Hampir 2 Bulan

Salah seorang anak Orang Asli yang terselamat selepas hilang hampir 2 bulan lalu menceritakan pengalaman sayu melihat adiknya hanyut dibawa arus deras Sungai Perias akibat tergelincir ketika cuba meneguk air di situ.

Norieen Yaakob, 10, menurut laporan Mingguan Malaysia hari ini, hanya mampu memerhati adiknya, Haikal, 8, berlalu pergi kerana kekuatan dirinya sendiri sangat terbatas ketika itu untuk menyelamatkannya.

Itulah kali terakhir dia dilaporkan melihat wajah adiknya yang sebelum itu mengadu terlalu lapar dan dahaga selepas berhari-hari tidak menjamah makanan.

Gambar Norieen Yaakob, 10, yang disimpan keluarganya dan
ketika ditemui di akar pokok besar, kanak-kanak ini terlalu kurus
Akhbar itu melaporkan, kejadian tersebut berlaku kira-kira 14 hari selepas Norieen, Haikal, Linda Rosli dan Sasa Sobrie, serta 3 rakan lain, Mirsudiar Aluj, 11, Juvina David, 7, dan Ika Ayel, 9, melarikan diri dari Sekolah Kebangsaan Tohoi pada 23 Ogos lalu.

Pengalaman itu diceritakan Norieen yang kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Baru kepada ibunya, Midah Angah, 40, dan bapa saudaranya, Herry Boy Angah, 20, malam tadi.

Norieen dan Mirsudiar ditemui pada sebuah pokok besar yang mempunyai lubang kecil di tanahnya.

Akhbar itu memetik Herry berkata, anak saudaranya menceritakan kepadanya bagaimana mereka mahu berpatah balik ke kawasan sekolah tetapi membatalkan hasrat itu kerana keletihan.

"Mereka bertiga kemudian berjalan kaki sehingga ke lokasi Norieen serta Mirsudiar ditemukan semalam (Jumaat), kira-kira 3 kilometer dari SK Tohoi, dan berteduh di kawasan tersebut.

"Bagaimanapun, beberapa hari lalu, Ika sudah tidak mampu bertahan akibat kebuluran dan meninggal dunia di sisi Norieen dan Mirsudiar.

"Kedua-dua kanak-kanak itu menjaga mayat Ika sehingga ditemukan semalam," Herry dilaporkan berkata.

Katanya, sepanjang tempoh tersebut, kanak-kanak malang itu tidak nampak kelibat pasukan penyelamat meskipun operasi mencari dilakukan di kawasan tersebut.

"Ketika operasi mencari, kanak-kanak ini mungkin terselit di celah akar pokok sehingga menyukarkan pihak berkuasa menemukan mereka.

"Pada masa sama, bunyi arus deras sungai itu juga menyebabkan kanak-kanak ini tidak mendengar jeritan pasukan penyelamat," katanya.

Sementara itu, ibu Norieen, Midah berkata, anaknya itu ada melarang adiknya daripada turun ke sungai tersebut tetapi kanak-kanak itu tetap berdegil.

Norieen, Mirsudiar dan 5 yang lain dikatakan melarikan diri dari asrama sekolah kerana takut dimarahi guru selepas ditangkap berenang di sungai berhampiran tanpa kebenaran.

Selain Norieen dan Mirsudiar yang ditemui dalam keadaan selamat tetapi amat lemah dan mengalami dehidrasi yang teruk, polis setakat semalam, menemui 4 lagi mayat atau tulang serta tengkorak daripada rangka tubuh kanak-kanak.

Kecuali Sasa dan Ika, 2 mayat lagi masih belum dikenal pasti.



7 comments:

  1. sangat kasihan mengapalah kanak-kanak itu merasa terlalu takut pada guru mereka , cukup rasanya mereka sayang dan menghormati guru sebagai abang kakak atau ibu bapa mereka sendiri, itu adalah lebih baik.

    ReplyDelete
  2. manja sangat ke?..

    ReplyDelete
  3. Kanak-kanak takut sebab stail pendidik macam kuku besi. That goes for the government too. Tapi takut bukan bermakna hormat.

    ReplyDelete
  4. Those concerned should find out why the students are so afraid of their teachers that they were willing to risk their safety instead of facing them.

    ReplyDelete
  5. Sabar2 dugaanlah,pro kontra cter saling memerlukan ddikan yv berhemah

    ReplyDelete
  6. arazak.... kau mesti hidup susah kan sekarang? Sebab tak berkat ilmu kau. Kau kurang ajar dengan pendidik.

    ReplyDelete
  7. Buat satu dokumentari kt tv,biar diaorang cerita sendiri(interviu)

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...