Monday, 7 September 2015

Tanpa Disangka.. Isu Ini Memakan Diri PAS


Tanpa Disangka.. Isu Ini Memakan Diri PAS. PAS bakal kehilangan sokongan segmen pengundi wanita ekoran isu baiah taklik, atau sumpah talak tiga, yang dimainkan pemimpinnya susulan perpecahan parti itu dan tertubuhnya sebuah parti baharu, kata para penganalisis.

Parti Islam itu menggunakan sumpah tersebut ke atas ahli Parlimennya kerana pemimpin seperti wakil rakyat Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli contohnya, meninggalkan parti itu untuk memihak kepada Parti Amanah Negara (Amanah) yang bakal ditubuhkan secara rasmi.

Pemerhati berkata, perkara itu menerima bantahan kaum wanita, yang membentuk majoriti pengundi di Malaysia, kerana menganggap parti itu menyalahgunakan agama dan meletakkan isteri sebagai cagaran dalam politik mereka.


Pengerusi Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata kajian pihaknya mendapati golongan wanita paling marah dengan isu ini.

"Berdasarkan tinjauan pantas yang dijalankan kepada pengundi wanita di Lembah Klang, hampir keseluruhan memberikan reaksi marah dengan tindakan PAS menggunakan agama demi kepentingan politik dan kuasa," kata pengkaji pendapat bebas itu kepada The Malaysian Insider.

Baiah taklik yang menyandarkan pegangan terhadap parti kepada cerai talak tiga ke atas isteri, dimulakan bekas menteri besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi menyelamatkan kerajaan negeri itu selepas kalah dalam pilihan raya kecil Pengkalan Pasir pada 2005.

Dengan kekalahan itu, PAS dan musuhnya Umno hanya berbeza satu kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dengan 23 kerusi berbanding 22 milik BN.

Selepas terbukti ia berkesan, tradisi baiah taklik ini diteruskan PAS di Kelantan pada setiap kali menjelang pilihan raya termasuk pada pilihan raya umum (PRU) 2013 lalu.

Tanpa Disangka.. Isu Ini Memakan Diri PAS

Namun begitu, Nik Aziz menjadikan perkara ini rahsia yang disimpan hanya di kalangan mereka yang terlibat saja tanpa diketahui umum.

Apabila bekas naib presiden PAS Datuk Dr Hassan Ali mendedahkan perkara ini tidak lama dulu, Nik Aziz serta setiausaha agung PAS ketika itu, Datuk Mustafa Ali, menafikannya.

Tetapi kini, ketika parti berpecah dua, pemimpin PAS menjadikan isu ini sebagai senjata politik untuk mengekang ahlinya, khasnya wakil rakyat mereka, daripada meninggalkan parti itu.

Ia berlaku selepas parti itu kehilangan rakannya dalam Pakatan Rakyat, diikuti pengundi Cina, sebagaimana ditunjukkan dalam perhimpunan 34 jam Bersih 4 yang tidak disertai PAS.

Tentangan terhadap baiah taklik juga mula disuarakan pertubuhan dan pemimpin wanita terhadap parti itu.

"Apabila rahsia ini terbongkar, ia menjadi isu sensitif kerana tidak tergambar bagi kita semua bagaimana wanita, yang seharusnya dimartabatkan dalam institusi keluarga Islam, kini menjadi bahan dagangan percaturan politik," kata Ketua Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Datin Paduka Che Asmah Ibrahim.

Mereka menentang sebarang tindakan yang menjadikan wanita dan institusi keluarga sebagai barang pertaruhan dan percaturan politik atas alasan apa sekalipun.

"Perbuatan ini bukan saja merendahkan martabat wanita, malah bertentangan dengan syariat dibawa Rasulullah yang meletakkan wanita dan lelaki sama kedudukannya di depan Yang Maha Pencipta, syariat yang membawa rahmah bagi sekalian alam," kata Che Asmah.


Pengerusi Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar (gambar) berkata kajian pihaknya mendapati golongan wanita paling marah dengan isu baiah taklik talak tiga. Pengerusi Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar  berkata kajian pihaknya mendapati golongan wanita paling marah dengan isu baiah taklik talak tiga.

Hisomuddin berkata, pada pengamatan panel penyelidikan Ilham Centre, sekiranya isu tersebut diheret dalam tempoh yang lama, maka hakisan sokongan segmen pengundi wanita terhadap PAS akan berlaku.

Katanya, ini diburukkan lagi dengan beberapa isu mutakhir ini yang menyaksikan pendirian politik PAS dalam isu nasional tidak mengambil kira kehendak penyokong dan pendukung Pakatan Rakyat.

"Menarik diri daripada menyertai Bersih 4, memperbesarkan insiden terpencil penyokong Bersih 4 memijak foto presiden PAS dan perdana menteri, semua ini mengundang kemarahan pengundi bukan Melayu, terutama pengundi Cina," katanya memberi contoh.

"Insiden berkenaan membayangkan akan berlaku penolakan pengundi Cina terhadap parti Islam tersebut dalam pilihan raya akan datang.

"Jika ditambah dengan polemik baiah taklik ini, kehilangan sokongan pengundi wanita sudah tentu akan menjejaskan lagi peluang PAS menawan lebih kerusi Parlimen atau DUN pada masa depan," katanya.

Selain itu, Hisomuddin berkata, golongan wanita menegaskan PAS sewajarnya menumpukan kepada soal lebih besar seperti memperjuangkan nasib rakyat yang terbeban dengan kos sara hidup tinggi, kenaikan harga barangan, cukai barangan dan perkhidmatan dan skandal melemaskan pemikiran rakyat.

"PAS perlu senada dengan barisan pembangkang yang lain melegakan keresahan rakyat dan bukannya menambahkan beban dengan mengutamakan soal menghukum, dan melibatkan perkara sensitif seperti meruntuhkan ikatan perkahwinan orang lain," katanya.

Katanya, bagi mengetahui pola sokongan, Ilham Centre juga mengemukakan soalan adakah mereka akan memilih parti yang menggunakan kaedah cerai taklik ini dalam pilihan raya akan datang bagi mengetahui sama ada isu tersebut mempengaruhi keputusan mereka.

"Berdasarkan maklum balas yang diberikan, mereka sepakat akan menolak PAS.

"Justifikasi pendirian mereka juga menyatakan isu ini antara faktor yang akan mengatasi faktor lain dalam mempengaruhi keputusan mereka," kata Hisomuddin.

Katanya, responden juga mendesak agar badan bukan kerajaan dan sayap wanita parti politik tampil dengan kenyataan tegas menempelak dan menolak cara PAS menggunakan cerai taklik dalam ruang lingkup politik negara.

"Jika dibiarkan, ia seakan-akan membiarkan parti politik bertindak merendahkan martabat kaum wanita," katanya.

Pada Selasa, PAS mengesahkan 22 pemimpinnya termasuk Hatta tidak lagi menjadi ahli parti itu apabila mereka menyertai Amanah yang diumumkan pada 31 Ogos.

PAS Kelantan pada Khamis mendakwa, baiah taklik yang dilafazkan wakil rakyatnya adalah sah di bawah undang-undang Islam.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man semalam menggesa semua pihak menghentikan polemik isu baiah itu, sebaliknya menyerahkan kepada pihak yang berautoriti dalam hal menentukan hukum.

"Pihak yang terlibat mesti merujuk kepada Mahkamah Syariah dalam memutuskan sesuatu isu yang melibatkan hukum syarak.

"Oleh kerana ia melibatkan hukum syarak yang mempunyai banyak implikasi, maka wajar bagi semua menyerahkan kepada pihak berautoriti dalam menentukan hukum bagi memutuskannya," katanya sambil menambah, perbincangan secara terbuka menggunakan pandangan akal menimbulkan kecelaruan di kalangan masyarakat.



Iklan B (ii)







No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...