Monday, 28 September 2015

Seorang Jemaah Malaysia Disahkan Terkorban Tragedi Rempuhan Di Mina

Seorang jemaah haji Malaysia disahkan terkorban dalam insiden rempuhan di Mina pada 10 Zulhijjah (24 September) lepas setelah dipercayai tersasar ke kawasan kejadian.

Jemaah haji berkenaan ialah Zulkifly Samad, 50, yang beralamat di Taman Ukay Bistari, Ampang, Selangor. Allahyarham berasal dari Johor.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Tabung Haji (TH) dalam makluman awalnya mengesahkan tiada jemaah haji Malaysia yang terlibat dalam rempuhan itu berdasarkan pengesahan daripada waris dan maklumat awal penempatan jemaah haji.

"Pihak Tabung Haji membuat semakan dan pengumuman melalui siar raya di khemah jemaah pada 12.30 tengah hari (waktu Arab Saudi) sehingga 3 petang pada hari kejadian.


"Tiada sebarang aduan daripada waris dan rakan sekhemah berkaitan kehilangan jemaah (Malaysia) pada hari kejadian," katanya dalam kenyataan di Mekah, semalam.

Asyraf Wajdi berkata pada kira-kira 11 malam (waktu Arab Saudi) hari kejadian itu, isteri Zulkifly, Suriahanim Abd Hamid, membuat laporan kepada TH suaminya tidak pulang ke khemahnya.

Dalam laporan itu, Suriahanim mengakui suaminya tidak bersama-sama dengan jemaah Malaysia TH dari Muzdalifah kerana mahu berjalan kaki ke Mina sebagai mengikut Sunnah Rasullulah.

Menurut Suriahanim panggilan telefon terakhir yang dibuatnya kepada Zulkifly pada 7.15 pagi, 10 Zulhijjah dan suaminya memaklumkan beliau selamat tiba di Mina dengan jemaah negara lain dari Muzdalifah.

Asyraf Wajdi berkata selepas menerima aduan Suriahanim, para petugas TH memulakan usaha mencari Zulkifly di sekitar Kompleks Jamarat dan hospital berdekatan di Mina.

"Pada 1.30 tengah hari tadi (semalam), pasukan perubatan TH melakukan tinjauan di rumah mayat Muaissem di mana mereka menemukan satu jenazah sempurna rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang dalam kejadian itu," katanya.

Pasukan perubatan TH mengesahkan identiti jenazah itu berdasarkan identifikasi yang terdapat pada tubuhnya, kata Asyraf Wajdi.

"Pihak Tabung Haji mengesahkan jenazah itu ialah Zulkifly Samad," katanya.

Seramai 717 jemaah haji terkorban setakat ini dalam kejadian rempuhan itu yang berlaku di kawasan perkhemahan jemaah negara Arab, yang terletak kira-kira 4km dari perkhemahan jemaah Malaysia.


Iklan B (ii)




No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...