Tuesday, 29 September 2015

Reezal Merican Dedah Punca Sebenar Panggil Duta China

Menyifatkan kekeliruan mengenai jemputan ke Wisma Putra yang dipanjangkan kepada Duta China Dr Huang Huikang sebagai salah faham, Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina berkata, beliau tidak terlibat secara langsung dalam hal tersebut.

Malah katanya, keputusan mengadakan perjumpaan dengan duta itu bukan di bawah arahan beliau, sambil menambah, beliau tidak pernah menandatangani sebarang surat berkaitan jemputan itu.

"Ini semua salah faham sahaja, tidak ada apa-apa. Di sini saya tegaskan, saya tidak pernah tandatangani sebarang surat yang menyebabkan saya melanggar protokol.

"Saya sangat prihatin dengan 'standard operating procedure' (SOP) Wisma Putra dan yakin cara mereka mengawal situasi," katanya kepada The Malaysian Insider.

Terdahulu hari ini, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohd Nazri Aziz mendakwa, Reezal tidak mengikut protokol apabila memanggil Huang, dikatakan bagi memberi penjelasan berhubung kenyataan yang dibuatnya semasa melawat Jalan Petaling di Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.

Nazri dilaporkan sebuah portal berkata, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman sepatutnya memanggil Huang selepas berunding dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Sekarang kedua-dua pihak, perdana menteri dan menteri luar berada di luar negara, jadi pemangku menteri luar ialah (Datuk) Hamzah (Zainuddin),” beliau dipetik berkata.

Nazri berkata kepada portal itu, perbualannya dengan Hamzah pada Ahad mendapati, Reezal tidak menerima arahan daripada menteri atau perdana menteri untuk memanggil Huang.

Reezal, yang menafikan dakwaan Nazri beliau melanggar protokol dengan memanggil Huang berkata, Anifah pada 26 September lalu mengeluarkan kenyataan mahu memanggil duta itu bagi mendapatkan penjelasannya.

"Perjumpaan tersebut dijadualkan pada Isnin 28 September 2015 di Bangunan Wisma Putra.

"Saya mendapat kebenaran daripada menteri luar yang kini sedang dalam lawatan kerja di New York bersama perdana menteri," katanya.

Meskipun begitu katanya, beliau difahamkan Huang membuat keputusan untuk berjumpa Hamzah, yang juga menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan, hari ini.

Pada jam 12.20 tengah hari tadi, Huang bersama seorang pembantu mengadakan pertemuan dengan Hamzah di kementerian tersebut di Putrajaya.

Butiran pertemuan itu bagaimanapun tidak diperoleh kerana cubaan untuk mendapatkan komen Huang mengenainya tidak berjaya selepas beliau meninggalkan bangunan itu kira-kira jam 2 petang melalui pintu keluar yang berbeza.




No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...