Friday, 11 September 2015

Najib Terkedu Dengar Berita Ini


Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memberi peringatan keras kepada ahli Umno supaya memikirkan semula komitmen mereka terhadap presiden Datuk Seri Najib Razak, mengatakan sokongan ahli parti semata-mata tidak cukup untuknya memenangi pilihan raya.

Bekas perdana menteri itu dalam posting terbaru di blognya hari ini, memberi amaran yang sekiranya mereka tidak menolak Najib sekarang, Umno mungkin tidak sempat memulihkan dirinya sebelum pilihan raya umum akan datang.

"Jika sayang Umno tolak Najib sekarang. Jika sayang Najib, Umno akan hilang kuasa dan berkecai," katanya.

Katanya, ahli Umno yang sayang dan inginkan supaya parti itu kekal dan berkuasa perlu menyingkirkan Najib sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14). 

"Jika penolakan ini dibuat terlalu lewat, masa untuk pemulihan Umno tidak mencukupi," katanya menulis di bawah tajuk "Wahai Ahli Umno".

Merujuk seruan Najib supaya ahli parti menyokong beliau bagi memastikan kemenangan dalam PRU14, Dr Mahathir berkata, menyokong Najib sebagai ketua parti lebih menentukan kekalahan Umno dan bukan kemenangan.


"Umno tidak pernah menang semata-mata kerana sokongan ahli-ahlinya. Jumlah ahli dalam mana-mana kawasan tidak mencukupi untuk memberi kemenangan bagi calon Umno. 

"Tidak pernah ahli Umno melebihi separuh dari jumlah pengundi dalam mana-mana kawasan.

"Yang memberi kemenangan kepada calon Umno ialah orang Melayu, yang percaya kepada perjuangan Umno, tetapi tidak menyertai Umno. Orang Cina dan India juga menyumbang kepada kemenangan calon Umno," katanya.

Oleh itu, Dr Mahathir meramalkan, dalam PRU14, orang Melayu, Cina dan India akan menolak Barisan Nasional (BN) kerana tidak bersetuju dengan kepimpinan Najib. 

"Umno akan hancur kerana ramai dari ahli Umno tidak dapat terima Najib dan perbuatannya. Ramai dari mereka akan undi parti lawan atau tidak mengundi," katanya.

Sebaliknya, katanya, jika Najib tidak lagi menjadi presiden Umno dan memimpin BN, besar kemungkinan BN dan Umno akan menang. 

"Perasaan benci rakyat tidak tertumpu kepada Umno atau BN. Mereka tidak terima Najib dan kemarahan mereka hanyalah kepada Najib dan beberapa pemimpin Umno yang membodek kerana hendak jawatan atau lain-lain," katanya.



Iklan B (ii)







No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...