Friday, 11 September 2015

Mahathir Dedah Tembelang Najib Lagi..


Tindakan Datuk Seri Najib Razak dalam mengganggu siasatan berhubung sumbangan RM2.6 bilion yang beliau terima menunjukkan wang itu diperolehi secara haram, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Bekas perdana menteri itu, yang kini merupakan salah satu pengkritik tegar Najib, berkata ini adalah antara sebab mengapa majoriti rakyat Malaysia menolak beliau sebagai perdana menteri dan "benci" kepadanya.

"Tindakan Najib menghalang siasatan ke atas wang RM2.6 bilion yang ada dalam akaun peribadinya, membuktikan wang ini didapati secara haram. 

"Jika didapati secara halal, Najib tidak perlu takut siasatan diteruskan," tulis beliau di dalam blognya hari ini di bawah tajuk "Wahai Ahli Umno".

"Sesungguhnya majoriti rakyat menolak dan benci Najib sebagai perdana menteri. Mereka tidak dapat terima dakwaan Najib yang RM2.6 bilion yang ada dalam akaunnya adalah derma orang Arab."

Bekas perdana menteri yang berulang kali mendesak Najib meletak jawatan berkata, pentadbiran sekarang menyebabkan nilai ringgit merudum begitu teruk hingga harga barangan naik, inflasi meningkat dan saham jatuh.

"Ramai sekarang ini sudah muflis. Beban ditokok dengan GST (cukai barangan dan perkhidmatan) yang menyebabkan harga barangan dan khidmat naik lagi," katanya.

Bagi mereka yang mempunyai anak yang menyambung pelajaran di luar negara pula, Dr Mahathir berkata, mereka terpaksa berbelanja lebih besar untuk anak mereka memandangkan nilai ringgit yang makin merosot ketika ini.


"Pembangunan negara diabaikan dan wang sebanyak RM42 bilion dipinjam, dilabur secara tidak bijak dan berbilion ringgit sudah tidak dapat dikesan.

"Yang diketahui ialah, Najib memiliki wang sebanyak RM2.6 bilion dalam akaunnya di bank Arab-Malaysian. Sekarang wang ini dipindah entah ke mana. 

"Apabila siasatan dibuat oleh badan kerajaan yang bertanggungjawab, Najib bubar badan-badan ini," katanya.

Dr Mahathir merujuk kepada lumpuhnya Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan pasukan petugas khas yang terdiri daripada Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Bank Negara Malaysia serta Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia yang terlibat menyiasat kemelut 1MDB dan wang RM2.6 bilion.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan, wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Najib diterima beliau dari seorang penderma Timur Tengah. 

Najib berkata, beliau menerimanya bagi pihak Umno, dan bukan untuk kegunaan peribadi.

Tuduhan mengenai wang RM2.6 bilion itu mula timbul dalam satu laporan The Wall Street Journal (WSJ) pada 2 Julai, memetik dokumen daripada penyiasat Malaysia.

WSJ berkata, sumber dana itu tidak diketahui, tetapi ia berlegar di kalangan beberapa entiti berkaitan 1MDB dalam pelbagai bahagian, sebelum dimasukkan secara berperingkat ke dalam akaun Najib pada Mac 2013, menjelang pilihan raya umum pada Mei.


Iklan B (ii)







1 comment:

  1. Berani kerana benar, takut kerana salah!!! Itulah prinsipnya.

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...