Wednesday, 30 September 2015

Khir Toyo Dedah Individu Yang Menganiaya Dirinya?

Selepas dikekalkan hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Persekutuan, bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo tampil memberikan penjelasan terperinci mengenai kontroversi melibatkan dirinya.

Beliau mendakwa, seorang pemimpin UMNO menganiayai dirinya dengan mengupah jurugambar untuk mengambil gambar rumahnya menggunakan helikopter bagi menunjukkan kepada masyarakat kononnya rumah itu sebesar istana.

“Hakikatnya, rumah saya bukanlah antara terbesar di kawasan terbabit. Tidak mengapa, saya telah maafkannya,” tulisnya panjang lebar di blognya www.drkhir.com.

Menteri Besar Selangor selama lapan tahun itu menjelaskan, sepanjang perbicaraan pihak pendakwaraya tidak pernah mengemukakan sebarang fakta yang menunjukkan berlaku unsur rasuah.

Katanya, secara asasnya unsur rasuah seharusnya dalam keadaan beliau mendapat habuan kerana meluluskan sesuatu kepada Pengarah Syarikat Ditamas Sdn Bhd, Datuk Shamsuddin Hayroni

“Tidak pernah ada sebarang fakta dan bukti menunjukkan pembelian rumah saya dengan harga RM 3.5 juta yang dikatakan murah oleh pendakwa raya, dibalas dengan sebarang keistimewaan pemberian projek atau kelulusan tender oleh saya.

“Yang ada hanyalah surat sokongan yang diberi kepada syarikat Shamsuddin seperti mana saya sokong puluhan malah mungkin ratusan syarikat lain

“Jika tidak korup mengapa saya didapati bersalah? Saya dituduh dan didapati bersalah di bawah Perkara 165 Kanun Keseksaan yang merupakan satu kesalahan teknikal dengan hukuman maksimum ialah dua tahun penjara,” katanya.

Beliau berkata, dalam pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya, pendakwaraya tidak memerlukan sebarang bukti terdapatnya keistimewaan diberikan kepada Shamsuddin.

Dr Khir berkata, apa yang perlu dibuktikan ialah beliau telah membeli sesuatu barangan dengan harga (balasan) yang tidak mencukupi daripada seorang yang diketahui mempunyai hubungan rasmi dengannya sebagai penjawat awam.

“Demikianlah kesungguhan Peguam Negara terdahulu mahu memenjarakan saya. Saya tidak pasti rumah saya akan dirampas atau tidak. Mereka membicarakan saya di bawah Perkara 165 tetapi mereka menggunakan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk merampas rumah saya,” katanya.

Menerusi blognya yang bertajuk “Catatan Di Belakang Tirai Besi” itu juga, Khir turut menyentuh perkara-perkara lain di sepanjang pentadbirannya antaranya mengenai akhbar The Sun, kuil, penyapu dan setinggan.

Menurutnya, sehingga di saat beliau tidak mempunyai kuasa dan jawatan, akhbar The Sun memilih untuk ‘melanyaknya’ berhubung Selangor Maju 2005

“Adakah kerana saya dilihat sebagai anti-kaum India kerana merobohkan beberapa kuil yang dibina secara haram? Atau adakah kerana saya tidak meluluskan pusat Lumba Kuda di Bukit Tagar, Selangor?

“Saya tidak fikir ia sekadar soal ‘good governance’, kerana sesiapa sahaja yang membaca The Sun dari dulu sehingga hari ini boleh membezakan tahap dan jenis kritikan akhbar atau pengarang akhbar tersebut kepada Menteri Besar selepas saya.

“Malah ada ketika mereka mempertahankan Menteri Besar selepas saya biarpun kesilapan yang dibuat sangat nyata,” katanya.

Mengulas mengenai isu perobohan kuil Hindu di Rimba Jaya, beliau berkata keputusan merobohkan itu adalah keputusan Mahkamah dan bukannya keputusan yang dibuatnya mahupun kerajaan negeri.

“Saya, selaku Menteri Besar ketika itu, kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Shah Alam hanya melaksanakan keputusan Mahkamah. Namun saya terima ia sebagai satu tanggungjawab saya.

Menyentuh mengenai isu penyapu, beliau menyedari sebahagian membencinya kerana memberikan ‘Anugerah Penyapu’ kepada penjawat awam dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Majlis Daerah Hulu Selangor.

“Sungguhpun ia bukan idea saya, dan telah dipersetujui dalam mesyuarat bersama semua PBT ketika itu, saya terima ia sebagai satu tanggungjawab saya. Saya pohon maaf jika masih ada yang berkecil hati,” ujarnya.

Mengenai isu setinggan semasa pentadbirannya sebagai Menteri Besar Selangor, Dr Khir berkata beliau tidak boleh memuaskan hati semua penghuni setinggan.

“Apa yang boleh saya katakan, saya telah membuat yang terbaik dalam kemampuan saya dan kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu setinggan,” katanya.



2 comments:

  1. Salah tetap salah boss..atas dunia lg dh ditunjukkan kekuasaan Allah, sekejap anda di atas, dan kini anda bi dlm penjara (hina).
    Bertaubatlah segera selagi pintunya masih terbuka..

    ReplyDelete
  2. Bapak Khir... manfaatkanlan 360 hari sewaktu bapak dalam penjara nanti untuk mendekatkan diri bapak dengan Tuhan. Tuhan maha kaya, maha berkuasa. Teringat satu ketika dulu, bapak membuat kehinaan kepada insan lain dengan menghadiahkan penyapu lidi.. kali ini bapak terimalah kembali kehinaan dengan title seorang BANDUAN

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...